Oleh Muhammad Aiman
Atlet boling kebangsaan, Esther Cheah menoktahkan kemarau selama tiga tahun tanpa kejuaraan di pentas antarabangsa dengan menjuarai Terbuka Hong Kong buat kali ketiga di Pusat Boling SCAA di Causeway Bay pada Ahad.
Atlet berusia 30 tahun itu menewaskan juara bertahan dari Korea Selatan, Lim So Hyun 209-204, 210-179 dalam aksi final stepladder untuk merampas semula kejuaraan yang dimenanginya pada 2012 dan 2013.
“Saya cukup teruja dan lega dengan kemenangan ini, sudah tiga tahun saya tidak menang apa-apa kejuaraan di peringkat antarabangsa. Perjalanan karier saya banyak mengalami naik turun sejak 2014, saya tampil dengan bertenaga pada Sukan Sea tahun lalu (Singapura) tetapi beberapa isu kecederaan menjejaskan pembabitan saya sekali lagi.
“Saya mengalami bengkak pada lengan dan kemudiannya kecederaan di kaki pada Disember tahun lalu. Saya cuba untuk dapatkan semula rentak permainan sebenar saya semula dan gembira ketabahan dan kerja keras saya membuahkan hasil dengan kemenangan ini,” ujar Esther.
Esther yang merupakan juara dunia pada 2005 turut menyifatkan pengalaman yang diraih sepanjang penyertaan di Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat baru-baru ini sebagai faktor utama memacu semula prestasinya ke tahap terbaik.
Dalam Jelajah PWBA yang membabitkan lima kejohanan itu, Esther melepasi saingan pusingan awal dalam tiga kejohanan dengan pencapaian terbaiknya adalah menduduki tempat ke-14 di Terbuka Lincoln.
Sementara itu, seorang lagi atlet boling negara, Siti Safiyah Abdul Rahman yang turut beraksi bagi kategori wanita, gagal mara ke aksi playoff enam terbaik stepladder selepas sekadar menamatkan aksi pusingan kedua di tempat kelapan.