HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) bersiap sedia mengendalikan apa juga kes kecemasan membabitkan atlet, pegawai atau petugas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Jabatan Trauma dan Kecemasan bersedia menangani sebarang kes membabitkan kecederaan atlet sepanjang berlangsungnya temasya dari 19 hingga 30 Ogos.
Seorang jurucakap jabatan itu berkata para atlit yang cedera akan diberi rawatan perubatan yang terbaik sejurus mereka dibawa masuk. “Buat masa ini, kami menyediakan lima katil dan jumlah itu akan ditambah jika keperluan mendesak.”
“Saya percaya selain HKL, pihak Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) juga telah membuat persediaan dengan hospital-hospital kerajaan lain yang berhampiran dengan venue-venue di Lembah Klang,” katanya.
HKL juga telah melakukan penyelarasan dengan hospital-hospital berhampiran bagi mendapatkan khidmat jururawat-jururawat jika keadaan memerlukan. HKL akan menempatkan seorang pegawai perubatan dan empat jururawat, khusus untuk mengendalikan para atlit yang cedera di sepanjang temasya sukan dwi-tahunan itu.
Satu pasukan perubatan juga ditempatkan di setiap venue pertandingan.