WALAUPUN dianjurkan buat kali pertama bersempena Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Cabaran Hotaru Push Bike mendapat sambutan luar biasa.
Selepas tiga pusingan, pertandingan basikal tolak atau push bike melibatkan peringkat umur 2 hingga 7 tahun itu menerima 300 penyertaan.
Matlamat untuk menjadikan acara berkenaan sebagai platform bagi mendekatkan kanak-kanak dengan sukan berbasikal jelas telah berjaya.
Pengurus program, Norafzahan Ismail berkata, mereka menjangkakan lebih ramai penyertaan akan diterima di Pulau Pinang esok, diikuti Alor Setar (Khamis) dan Langkawi pada Sabtu.
“Sambutan amat menggalakkan, malah ada peserta yang datang dari negeri yang tidak terlibat dengan LTdL 2020 seperti Johor dan Kelantan.
“Kami sudah lama menganjurkan pertandingan push bike tapi ini kali pertama kami bekerjasama dengan LTdL.
“Ia mendapat kerjasama penuh daripada penganjur dan penaja utama, Petronas yang turut menaja pingat kepada para pemenang.
“Matlamat utama kami adalah memupuk minat kanak-kanak dalam sukan berbasikal.
“Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan, kami berharap program ini dapat diteruskan pada LTdL akan datang,” katanya.
Menurut Norafzahan, pertandingan di KLCC pada Ahad lalu mencatat penyertaan tertinggi dengan 150 peserta, diikuti Kerteh (80) dan Ipoh (70).
“Saya tidak pasti berapa ramai peserta akan menyertai pertandingan di Pulau Pinang, Alor Setar dan Langkawi kerana penyertaan dibuka sehingga hari acara berlangsung.
“Tapi melihat kepada sambutan dalam tiga pusingan pertama, kami jangkakan ia akan turut menerima penyertaan yang menggalakkan,” katanya lagi.