Atlet paralimpik badminton negara, Mohamad Huzairi Abd. Malik optimis meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas buat negara bagi acara para badminton perseorangan pada temasya sukan Para Asean 2017 yang kini hanya berbaki 10 hari sahaja lagi.
Menurut atlet berusia 27 tahun itu, beliau berazam akan menumpaskan juara acara individu para badminton dari Indonesia, Ykunruekendi yang juga seteru beliau dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
“Semasa Para Asean 2015 di Singapura, saya tumpas dengan Ykunruekendi dari Indonesia dengan kalah tipis di kedua-dua set 21-18, 21-18.
“Jadi saya tanamkan azam dalam diri saya untuk kalahkan pemain Indonesia itu kerana saya tahu saya mampu lagi-lagi dengan sokongan yang akan kita dapat menerusi sahabat, keluarga dan penyokong negara di gelanggang kita sendiri,” katanya ketika ditemui di sidang media Program Kita Juara 2017, Sukan Para Asean di Hotel Seri Pacific hari ini (7 September).
Menjelas lanjut, Huzairi berkata beliau sudah melakukan persiapan rapi bagi memastikan sasaran yang diletakkan tercapai pada temasya sukan Para Asean yang akan berlangsung pada 18 sehingga 22 September ini.
“Kali ini saya betul-betul melakukan persiapan rapi untuk mencapai matlamat yang saya setkan dengan melakukan beberapa analisa video permainan pemain yang akan bertanding terutama Ykunruekendi,” katanya lagi.
Sementara itu, pengurus pasukan skuad para badminton negara, Dr. Naharruddin Hashim meletakkan sasaran empat pingat emas daripada 14 acara yang dipertandingkan.
“Kita menurunkan sebanyak 26 pemain yang bertanding dalam 14 acara yang dipertandingkan dan saya yakin skuad para badminton dapat meraih empat pingat emas pada Sukan Para Asean 2017 ini.
“Namun, saya percaya pemain kita mampu peroleh lebih daripada empat emas selepas kita lihat kemampuan mereka ketika beraksi di Kejohanan Terbuka Thailand pada Jun yang lepas dengan berjaya membawa pulang dua emas,” kata Dr. Naharuddin. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI