Johor Darul Takzim (JDT) berdepan misi getir di dalam mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu apabila bertemu Pahang di peringkat suku akhir.
Mereka akan terlebih dahulu bertandang ke Stadium Darulmakmur untuk aksi pertama sebelum aksi timbal balik berlangsung di Larkin pada 29 September nanti.
Pertembungan JDT dan Pahang jarang mengecewakan dan tidak keterlaluan untuk mengatakan dari empat aksi suku akhir, pertembungan dua pasukan ini adalah yang paling mencuri tumpuan.
Mengimbau sedikit rekod pertemuan, jodoh antara Pahang dan di pertandingan berstatus piala memang cukup kuat – sejak dari 2013 hinggalah ke 2018, kedua-dua pasukan ini telah bertemu sebanyak 10 kali iaitu sembilan kali dalam Piala FA dan sekali dalam Piala Malaysia.
Dalam 10 pertemuan itu, Pahang menang enam kali (dua kali menerusi penalti) dan dua kali berkesudahan seri. Terbaru adalah dalam Piala FA 2018 yang mana skuad Dollah Salleh menang agregat 3-0 dan mara menjuarai pertandingan itu dengan menewaskan Selangor.
Malah pada 2014, Pahang mengecewakan JDT di perlawanan akhir menerusi tendangan penalti untuk bergelar juara. Justeru andai harimau selatan mahu meneruskan kemaraan, badi Pahang perlu dihapuskan terlebih dahulu.
Pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak berkata mengakui rekod perseteruan yang sengit antara kedua-dua pasukan dan menjelaskan ianya disebabkan banyak faktor.
“Kedua-dua pasukan mempunyai skuad yang baik di mana ia dibarisi pemain tempatan berpengalaman dan pemain kebangsaan. Pemain luar negara juga antara yang terbaik malah JDT dan Pahang mempunyai penyokong yang tegar dan penuh bersemangat jadi kemungkinan ada motivasi tambahan disebabkan oleh perseteruan tersebut.
“Titik tolak bagi saya adalah ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2014, sejak itu saya tetapkan tidak mahu tewas sekali lagi jadi saya seolah-olah memiliki semangat yang lebih tinggi setiap kali kami betembung.”
Aidil bagaimanapun tidak merasakan rekod buruk JDT setiap kali berdepan Pahang dalam saingan piala adalah satu badi sebaliknya menganggap ianya satu kebetulan.
“Kami kerap menewaskan mereka dalam saingan Liga Super dan telah melakukannya dua kali tahun ini iaitu pada dua pertemuan terakhir antara JDT dan Pahang. Kami yakin boleh ulanginya dan akan ketepikan rekod tersebut seterusnya memulakan yang baru,” tambahnya.
Bagi Pahang pula, mereka tidak mengharungi prestasi yang baik di gelanggang sendiri musim ini.
Walaupun ketika awal musim nampak gah apabila mencatat lima kemenangan berturut-turut, tetapi dalam 10 perlawanan terakhir mereka hanya menang dua kali, seri lima kali dan tewas tiga kali di Stadium Darulmakmur.
Dalam saingan Piala Malaysia mereka hanya mampu seri menentang Sabah dan PKNP serta tewas kepada Selangor.
Selain itu rekod pertemuan menentang JDT di Darulmakmur juga tidak begitu cemerlang. Mereka hanya menang sekali dan tewas tiga kali dalam lima pertemuan terakhir termasuklah dimalukan 0-6 dalam aksi Liga Super pada 2016.
Jika JDT perlu menghapuskan badi Pahang di pertandingan piala, Pahang pula perlu menghapuskan rekod buruk dan juga badi JDT di Darulmakmur. Dengan skuad bimbingan Luciano Figueroa dilihat sudah menemui prestasi terbaik mereka, Pahang perlu bekerja keras jika tidak mahu berputih mata. MUHD AIMAN