IMG20160503163522

Oleh Muhammad Aiman

Pengasas produk kesihatan dan kecantikan, Ibu Glow, turut serta dalam merancakkan pemburuan emas pertama Sukan Olimpik apabila meluahkan hasrat untuk menaja atlet negara yang meraih pingat emas di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016 pada Ogos depan.

Pengarah Urusan Nursuci Sdn Bhd, pemilik jenama Ibu Glow, Muzaffar Mustapa berkata syarikatnya mahu turut sama menyumbang kepada kemajuan arena sukan tanah air, dan melihat ini adalah masanya yang sesuai untuk menyuntik semangat dan motivasi atlet tatkala tinggal tiga bulan sahaja lagi untuk temasya berprestij dunia itu berlangsung.

“Walaupun kami pengeluar produk kesihatan, tapi kami juga sentiasa peka dengan perkembangan sukan di Malaysia, dan kita tahu Malaysia belum ada pemenang emas di Sukan Olimpik. Sudah tentunya dengan usaha sebegini kita mengharapkan lagu Negaraku akhirnya akan berkumandang di Rio.

“Mengenai bentuk tajaan, kami akan putuskan nanti tetapi sudah tentunya ia sesuatu yang cukup bermanfaat untuk atlet sebagai penghargaan di atas usaha dan keringat yang mereka curahkan untuk mengharumkan nama negara,” kata Muzaffar.       

Muzaffar menjelaskan antara faktor utama bidang sukan menjadi pilihan syarikatnya untuk menghulurkan tajaan adalah kerana mereka selalu terlibat dalam berurusan dengan atlet mahupun bekas atlet sambil menegaskan golongan atlet adalah antara yang paling berisiko mengalami masalah berkaitan saraf, sendi dan kesihatan.

“Sebagai pemilik syarikat kesihatan, sudah ramai atlet yang saya jumpa baik yang amatur mahupun profesional, yang masih aktif mahupun yang sudah pencen. Sewaktu mereka bergelar atlet, mereka mengawal diet dan pemakanan tetapi ia tidak diteruskan setelah bersara. Kecederaan yang mereka alami ketika bersukan tidak dirawat dengan baik akhirnya bila usia meningkat naik mereka mula terasa kesannya.

“Jadi disebabkan itu, kami terpanggil untuk mendekati atlet, memberi lebih kesedaran kepada mereka dalam masa sama membantu mengelakkan kesan jangka panjang akibat kecederaan yang dialami ketika bersukan. Tajaan untuk atlet emas Olimpik ini kita anggap sebagai permulaan, banyak lagi inisiatif akan kita gerakkan,” tambah Muzaffar lagi.

Untuk rekod, setakat ini 13 atlet sudah mengesahkan tiket beraksi di Sukan Olimpik iaitu Pandalela Renong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng, Ooi Tze Liang dan Cheong Jun Hoong (terjun), Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa (berbasikal), Welson Sim (renang), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Jonathan Wong (menembak), Khairulnizam Md Affendy dan Nor Shazrin Abd Latif (perahu layar) serta yang terbaru Nauraj Singh Randhawa (olahraga).

Malaysia masih mencari pingat emas pertama di Olimpik, selepas meraih tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa sepanjang penyertaan sebelum ini.

Gandingan beregu adik beradik Razif dan Jalani Sidek menyumbang gangsa di Barcelona 1992, sementara Cheah Soon Kit/Yap KimHock menyumbang perak pada Atlanta 1996, diikuti gangsa oleh Rashid Sidek pada edisi sama.

Selepas kemarau pingat 12 tahun, Dato’ Lee Chong Wei menyumbang pingat perak di Beijing 2008, manakala pada penyertaan di London 2012,  Chong Wei sekali lagi berpuas hati dengan perak sementara Pandalela pula menjadi atlet pertama dari luar sukan badminton untuk menyumbangkan pingat apabila pulang dengan gangsa.  

- Advertisement -