Ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner, berpandangan skuadnya layak meraih kemenangan 2-1 pada pusingan pertama TM Piala Malaysia berdepan Melaka selepas mempamerkan penguasaan sepenuhnya dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, pada Ahad.
Jelas pengendali dari Jerman itu, beliau berpuas hati dengan corak permainan dipamerkan pasukannya yang bijak menyesuaikan dengan keadaan padang yang licin dan sedikit becak.
Walaupun mengakui pasukannya terpaksa mengamalkan corak bertahan menuju 20 minit terakhir, Feichtenbeiner gembira pemain-pemainnya mampu kekalkan tahap fokus serta disiplin untuk memastikan Selangor ke pusingan seterusnya untuk berdepan Kedah.
â Sebagai jurulatih, sudah tentu saya cukup gembira kerana ini adalah perlawanan kalah mati dan di atas padang sebegini, bukan senang untuk mengamalkan corak yang kami sentiasa amalkan tetapi pemain berani serta tahu mengawal tempo permainan.
â Secara keseluruhan, kami berjaya mengawal permainan di babak pertama dan Melaka hanya berbahaya pada situasi âset-pieceâ namun dalam permainan yang terbuka, kami yang lebih banyak kuasai.
â Selepas kami mendapatkan jaringan kedua, saya sudah mula yakin yang pasukan kami boleh menang tetapi jaringan Melaka telah memberikan harapan kepada lawan untuk bangkit memberi saingan dan kami perlu bertahan.
â Saya juga gembira dengan prestasi Ifedayo yang kini berada di kemuncak prestasi dan dia boleh konsisten melakukan jaringan dalam tiap perlawanan, â katanya.
Ifedayo Omosuyi membuka tirai gol hasil umpanan Wan Zack Haikal Wan Noor sebelum Ifedayo menjadi pengumpan buat gol kedua tuan rumah menerusi Sandro da Silva.
Uche Agba cuba menghidupkan peluang untuk Melaka United namun Selangor berjaya memastikan kelebihan satu gol yang dimiliki untuk membawa The Red Giants ke suku akhir.
Satu lagi perlawanan pusingan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung memperlihatkan UiTM FC dipaksa bekerja keras oleh Kelantan sebelum meraih kemenangan 3-2, sekali gus menjadi pencapaian terbaik buat kelab Insitut Pengajian Tinggi Awam itu sepanjang sejarah kejohanan Piala Malaysia.
Ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, menyifatkan perlawanan itu sememangnya sukar terutama lawan berjaya bangkit meraih dua gol penyamaan yang pantas dalam tempoh tiga minit.
â Biarpun rasa lega kerana menang, sememangnya perlawanan ini menguji kami apabila semasa mendahului 2-0 dan berpeluang untuk lebarkan lagi kedudukan, kami gagal untuk lakukannya.
â Sebaliknya, kami melepaskan dua gol yang pantas kepada pihak lawan dan pemain saya pantas untuk bangkit menerusi jaringan menarik daripada Arif Anwar yang menjadi punca kemaraan kita pada hari ini.
â Bertemu Pulau Pinang pada pusingan seterusnya pasti menjadi satu aksi yang sukar untuk dijangkakan kerana sebelum berdepan Kelantan, kami tidak bermain aksi kompetitif hampir sebulan dan semua pemain memerlukan masa bagi dapatkan rentak, saya harap situasi ini akan bertambah baik di suku akhir, â katanya.
Arif Anwar dan Rafie Mat Yaacob meletakkan UiTM, 2-0 di depan pada babak pertama sebelum Danial Ashraf Abdullah mengikat kedudukan menerusi dua gol pantas dalam tempoh dua minit.
Gol akrobatik Arif yang juga bekas pemain Bawah 23 tahun dan Kuala Lumpur memastikan beliau dijulang sebagai wira UiTM FC.