chen_long_lee_chong_wei_rio_olympics

Oleh Muhammad Aiman

Tiga kali mencuba, namun Dato’ Lee Chong Wei tetap gagal menukar warna pingat perak kepada emas, menyaksikan impian emas pertama Malaysia di pentas olimpik terus berpanjangan.

Buat kesekian kalinya, empayar China cukup kebal untuk diruntuhkan. Keceriaan mengatasi badi Lin Dan ketika di separuh akhir hanya seketika, Chen Long nyata terlalu hebat untuk disaingi.

Jagoan China itu memastikan Chong Wei menutup pengembaraan selama 12 tahun di temasya sukan terbesar dunia itu dengan skrip duka yang sama, tewas di final buat kali ketiga berturut-turut.

Turun dengan ekspetasi dan keyakinan tinggi, Chong Wei bagaimanapun ibarat tiada jawapan kepada prestasi memuncak bertenaga Chen Long dan akhirnya tewas dalam pertarungan straight set 18-21, 18-21.

Dengan kekalahan Chong Wei, bermakna Malaysia berputih mata buat kali ketiga berturut-turut dalam aksi final di gelanggang badminton Rio De Janeiro 2016 selepas terdahulu Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga sekadar mampu menghadiahkan perak.

Secara keseluruhan Malaysia pulang dari bumi Rio dengan empat perak dan satu gangsa – pencapaian terbaik sepanjang penyertaan di Olimpik.

Sementara itu, Lin Dan turut mengakhiri penampilan olimpik terakhirnya dengan nota kecewa, tewas dalan perlawanan penentuan pingat gangsa kepada pemain Denmark, Victor Axelson.

- Advertisement -