Pelumba Supermoto negara, Khairi Zakaria gagal dalam misinya untuk memenangi kategori Asia buat kali ketiga pada pusingan terakhir Kejohanan Supermoto Asia FIM 2017 yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Anak jati Johor itu yang pernah menjuarai kategori Asia pada 2012 dan 2013, bermula perlahan setelah sekadar menduduki tempat keempat pada perlumbaan pertama dengan catatan 22 minit 13.127 saat melibatkan 26 pusingan.
Keputusan untuk menukar tayar sebelum bermula perlumbaan kedua nyata membawa tuah kepada Khairi yang memenangi perlumbaan berkenaan dengan catatan 21 minit 40.581 saat.
Kejayaan itu, bagaimanapun gagal membantu Khairi yang sekadar menduduki tangga kedua keseluruhan kategori Asia dengan mengumpul 203 mata berbanding pelumba Thailand, Trakarn Thangthong yang menjuarai kategori berkenaan setelah mengutip 211 mata.
Seorang lagi pelumba negara, Muhd Habibullah Mohd Salleh yang mewakili pasukan KTM Malaysia ELF Racing Team menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 147 mata.
Khairi yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, berpuas hati dengan pencapaian diraih musim ini, walaupun gagal dalam misi untuk merampas kembali kategori Asia yang kali terakhir dimenanginya pada 2013.
“Bagi saya, pencapaian kali ini agak bagus kerana saingan pada musim ini agak sengit terutamanya daripada pelumba luar dan banyak perkara yang saya dapat pelajari daripada mereka untuk digunakan pada perlumbaan tahun depan.
“Untuk perlumbaan hari ini, saya membuat kesilapan melakukan pecutan lebih awal pada perlumbaan pertama sehingga menyebabkan saya terjatuh sebelum saya mengubah strategi membuat penukaran tayar dan mengurangkan kesilapan dan akhirnya saya berjaya memenangi perlumbaan kedua,” katanya.
Dalam pada itu, pelumba United Kingdom, Lewis Cornish yang mewakili pasukan Kenny Motorworks Tekmo Racing mengesahkan kejuaraan kategori Terbuka dengan kutipan 212 mata selepas berakhir lima pusingan perlumbaan, musim ini.
Thangthong dan Khairi, masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga selepas mengutip 187 dan 181 mata.— BERNAMA