Kelantan Warriors menghidupkan semula peluang untuk melangkah ke separuh akhir Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2018 apabila mengejutkan juara STL Premier Penang Black Panthers dalam aksi kedua Kumpulan A di Gem In Mall pada Sabtu.

Pasukan pantai timur itu yang tewas aksi pertama kepada KL Thunder turun dengan menyedari satu lagi kekalahan akan menyaksikan mereka tersingkir awal daripada saingan kali ini, dan berdepan Penang Black Panthers yang diperkuatkan perejam dari Thailand Aekkasit Naphom sememangnya misi memburu kemenangan dianggap cukup sukar.

Namun regu Kelantan Warriors membuktikan mereka juga bukan pasukan calang-calang, apabila trio Hisyam Mat-Aidil Aiman Azwawi-Wan Naim Izani Wan Noor tampil dengan permainan lebih bertenaga dan meyakinkan untuk melakar kemenangan straight set 21-14, 25-23 sekaligus membuatkan Naphom-Syahir Rosdi-Zaim Razali berputih mata.

Ia juga kemenangan pertama Kelantan Warriors ke atas juara bertahan STL Champions Cup itu dalam tiga pertemuan musim ini.

“Kita bermain dengan lebih agresif dan memaksa regu Penang Black Panthers untuk membuat kesilapan. Pemain menunjukkan ketahanan mental yang cukup baik dan sudah tentunya saya boleh katakan ini sebagai satu daripada permainan terbaik ditunjukkan kita musim ini. Kini peluang kita kembali menyala untuk ke separuh akhir dan ianya di tangan kita mahu rebut atau tidak peluang tersebut,” kata jurulatih Kelantan Warriors Roslan Ismail.

Kekalahan Penang Black Panthers menyaksikan KL Thunder terpaksa menanti sehingga ke perlawanan terakhir untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir meskipun mereka melakar kemenangan mudah ke atas Sabah Mountaineers.

KL Thunder terdahulu melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan A setelah regu gandingan Idham Sulaiman-Amirul Zazwan Amir-Norhafizi Razak membenam cabaran Sabah yang dibarisi Mohd Kahar-Daut Amba dan Hanafiah Dollah 21-15, 21-18.

Kekalahan kedua bagi Sabah Mountaineers menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan.

Sementara itu dalam aksi Kumpulan B pula, ATM Guardians bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Johor Tigris 2-1 sekaligus menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir

Regu Hairul Hazizi Haidzir-Norfaizzul Razak-Asrie Isa tewas set pertama 20-22 kepada Noor Azman Hamid-Muqlis Borhan-Fadzli Muhamad namun bangkit memenangi dua set berikutnya 21-14, 21-9.

Manakala tekong dari Thailand, Niphat Wongprasoet pula tampil dengan servis bertenaga untuk memastikan Negeri Sembilan Antlers masih kekal dalam saingan dengan menewaskan Perak Bison 21-14, 21-12.

 

Keputusan (Sabtu):

Kelantan Warriors mng Penang Black Panthers (2-0 : 21-14, 25-23)

KL Thunder mng Sabah Mountaineers (2-0 : 21-15, 21-18)

ATM Guardians mng Johor Tigris (2-1 : 20-22, 21-14, 21-9)

Negeri Sembilan Antlers mng Perak Bison (2-0 : 21-14, 21-12)

 

Jadual (Ahad) :

Kelantan Warriors lwn Sabah Mountaineers

Penang Black Panthers lwn KL Thunder

Perak Bison lwn ATM Guardians

Johor Tigris lwn Negeri Sembilan Antlers

- Advertisement -