India dan Australia akan menjadi tumpuan pada edisi kelapan Piala Sultan Johor apabila kedua-dua pasukan tampil dengan misi memburu gelaran ketiga.
Kejohanan enam negara itu akan membuka tirai saingannya di Stadium Hoki Taman Daya, esok.
Selain India dan Australia, Malaysia, Jepun, New Zealand serta bekas juara, Great Britain turut bersaing pada edisi kali ini.
India mara ke final sebanyak empat kali bermula edisi 2012 hingga 2015 dan berjaya muncul juara pada 2013 dan 2014.
Australia pula muncul juara pada 2016 dan 2017. Mereka turut mara ke final pada 2011 tetapi tewas di tangan Malaysia.
Edisi kali ini menyaksikan hampir semua pasukan mempertaruhkan barisan pemain muda sebagai persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia Remaja dua tahun lagi.
Namun, ada pasukan terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak utama mereka yang beraksi pada saingan Olimpik Remaja di Argentina.
Ketua jurulatih Malaysia, Nur Saiful Zaini berkata skuad kendaliannya meletakkan sasaran untuk berada dalam empat kelompok terbaik pada edisi kali ini.
Anak buah Nur Saiful menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi tahun lalu.
“Kami sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan ini dan berharap dapat menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik. Ia akan menjadi minggu yang sukar berdasarkan kualiti pasukan yang bersaing di sini.
“Kami mengadakan dua perlawanan persahabatan, menentang Australia (tewas 0-1) dan Great Britain (seri 0-0). Masalah kami adalah bahagian serangan.
“Kami perlu menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan dan kami perlu mengatasi masalah ini,” katanya.
Bagaimanapun, Nur Saiful tetap gembira dengan persembahan yang ditunjukkan anak buahnya dan percaya mereka akan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan sikap dan corak permainan yang ditunjukkan. Namun, saya bimbang mereka kurang yakin dan ia faktor penting untuk diambil kira,” tambahnya.
Jurulatih India, Jude Felix berkata kehilangan khidmat beberapa tonggak utama pasukan itu pastinya memberi kesan kepada pasukan berkenaan.
“Seperti Malaysia, kami kehilangan beberapa pemain yang beraksi pada saingan Olimpik Remaja. Namun, saya percaya kami ada kekuatan yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini.
“Kami perlu konsisten dan cuba untuk mengatasi masalah. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk mana-mana pasukan bermain enam perlawanan dalam tempoh lapan hari dan kekal konsisten.
“Namun, saya optimis dengan peluang kami dan kami hampir mara ke final tahun lalu. Kami harap boleh menebus kekecewaan itu pada edisi kali ini,” katanya.
Seperti India, Australia juga sentiasa menjadi pencabar utama untuk merebut gelaran juara dalam kejohanan ini.
Australia berpeluang untuk menjadi pasukan pertama yang memenangi gelaran ketiga berturut-turut.
Jurulatih Australia, Chris O’ Reilly berkata mereka memiliki pasukan yang berpengalaman biarpun tidak melalui persiapan yang sempurna.
“Kami ada pemain muda dan berpengalaman. Dalam skuad kali ini, kami ada lapan pemain yang beraksi tahun lalu, jadi kami bergantung kepada prestasi mereka.
“Secara jujurnya, persiapan kami tidak begitu sempurna. Kami hanya berkumpul sebagai satu pasukan pada Isnin lalu di Johor Bahru dan bekerja keras bagi memastikan semuanya dalam keadaan baik.
“Ia akan menjadi kejohanan yang kompetitif dan kami fokus satu demi satu perlawanan,” katanya.
Great Britain juga antara pasukan yang perlu diberi perhatian. Mereka muncul juara pada 2015 dan mara ke final edisi tahun lalu.
Jepun dan New Zealand pula sentiasa memberi cabaran sukar kepada setiap lawan mereka. Mereka masih belum pernah mara ke final sepanjang penyertaan dalam kejohanan ini.
Pencapaian terbaik Jepun adalah pada 2016 dengan menamatkan saingan dj tempat ketiga manakala New Zealand keempat pada 2014.
Pemangku Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Manjit Majid Abdullah berkata peminat hoki bakal menyaksikan perlawanan berkelas dunia.
“Kami berharap semua pasukan akan memberikan aksi terbaik dan bukan hanya skuad remaja negara kita. Kemasukan ke stadium adalah percuma dan kami ingin melihat lebih banyak sekolah hadir menyaksikan perlawanan di stadium.
“Kami juga akan memastikan semua pasukan mendapat kemudahan terbaik dan pulang dengan kenangan manis,” katanya.
Jadual Perlawanan
Sabtu
Great Britain mln New Zealand – 4.05 petang
Australis mln Japan – 6.05 petang
Malaysia mln India – 8.35 malam
Ahad
Japan mln Great Britain – 4.05 petang
India mln New Zealand – 6.05 petang
Australia mln Malaysia – 8.35 malam