Oleh Muhammad Aiman
India mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas musuh tradisi, Pakistan pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Kuantan untuk menjulang Trofi Juara-Juara Asia QNET 2016.
Skuad bimbingan Roelant Oltmans yang mendahului 2-0 pada satu ketika membenarkan Pakistan bangkit mengikat kedudukan 2-2, sebelum menjaringkan gol kemenangan sembilan minit sebelum tamat permainan untuk bergelar juara buat kali kedua.
Ia sekaligus menafikan hasrat Pakistan mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada 2012 dan 2013.
Setelah aksi berhati-hati di babak awal permainan, India mendahului pada minit ke-18 menerusi jaringan pukulan sudut penalti ketua pasukan, Rupinder Pal Singh dan menggandakan kelebihan lima minit kemudian menerusi jaringan padang Yousuf Affan.
Pakistan bimbingan Khawaja Junaid bagaimanapun kembali dalam permainan apabila berhasil merapatkan jurang menerusi flick cantik Muhammad Aleem Bilal pada minit ke-26 untuk kedudukan 1-2 pada separuh masa pertama.
Ali Shan kemudiannya menyamakan kedudukan buat Pakistan namun India tampil dengan permainan lebih agresif di suku terakhir dan beroleh gol kemenangan menerusi Chandanda Thimmaiah pada minit ke-51 sekaligus mengulangi kejayaan 2011.
Sementara itu, pasukan negara sekali lagi menamatkan saingan di tempat ketiga setelah menewaskan Korea Selatan 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti (gambar utama).
Aksi masa sebenar sebelum itu berkesudahan 1-1 di mana Speedy Tigers mendahului menerusi jaringan padang Shahril Saabah pada minit ke-14, sebelum Jung Manjae menyamakan kedudukan buat Korea Selatan.
Firhan Ashaari, Faizal Saari dan Nabil Fiqri Mohd Nor muncul wira apabila menyempurnakan pukulan penalti masing-masing tatkala penjaga gol S.Kumar turut memainkan peranan penting dengan menyekat Jung Manjae, Kim Hyeongjin dan Jeong Junwoo.
Bagi Stephen, “Kami tidak mahu menamatkan saingan di kedudukan rendah setelah menunjukkan satu permainan yang cukup menarik di peringkat kumpulan. Ketika menentang Pakistan pun pemain telah memberikan yang terbaik walaupun kita beraksi di bawah tahap sebenar.
“Pemain-pemain telah banyak berkorban di atas padang termasuk Faizal yang terpaksa bergegas pulang kerana isterinya bersalin dan segera kembali menyertai kem pada hari berikutnya. Keseluruhannya ia adalah satu kejohanan yang banyak memberi kita pengajaran. Saya gembira untuk menamatkan kejohanan dengan meraih pingat.”