Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) akan mengambil kira laporan dari semua pihak sebelum memutuskan hukuman ke atas pasukan sepaktakraw wanita Indonesia yang bertindak memboikot perlawanan round robin Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menentang Malaysia pada Ahad (20 Ogos).
Pada perlawanan berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa itu, regu wanita Indonesia meninggalkan gelanggang ketika set kedua sedang berlangsung kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dari Singapura, Mohamed Radhi Che Mei.
Mohamed Radhi empat kali membatalkan servis pasukan Indonesia kerana kesalahan tekong mereka, Lena mengangkat kaki yang tidak melakukan servis pada ketika Indonesia sedang mendahului 16-9 di set kedua. Mereka sebelum itu ketinggalan 0-1 setelah tewas set pertama 20-22 sekaligus menyaksikan Malaysia dihadiahkan kemenangan percuma 2-0.
Presiden ASTAF, Dato’ Abdul Halim Abdul Kader yang juga Delegasi Teknikal bagi sepaktakraw di Sukan SEA KL 2017 berkata pihaknya memandang serius kesalahan dilakukan Indonesia itu yang jelas sama sekali melanggar peraturan sepertimana tercatit di dalam Handbook Teknikal Sepaktakraw dikeluarkan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) bertarikh 19 Julai 2017.
“Tiada maaf bagi mana-mana pasukan yang memperlekeh peraturan dan keluar gelanggang dengan cara seperti itu. Memang dalam peraturan ada disebut kalau tidak berpuas hati dengan pengadil atau apa sahaja boleh buat bantahan, tetapi semua bantahan harus dilakukan mengikut prosedur dan saluran ditetapkan. Untuk keluar seperti ini amatlah menyedihkan.”
“Kita kita telah meminta rakaman penuh perlawanan dari MASOC, dan kemudian akan mengendalikan siasatan sebelum putuskan hukuman ke atas mereka,” katanya dalam sidang media khas di Stadium Titiwangsa pada Isnin (21 Ogos).
Sebagai hukuman sementara, Abdul Halim menyatakan bahawa Indonesia yang dijadual berdepan dengan Filipina dalam aksi terakhir round robin pagi ini tidak dibenar untuk meneruskan saingan dalam acara regu wanita tetapi sebagai lambang kesukanan dan menghormati Sukan SEA, mereka tetap diberikan pingat gangsa.
“Kita telah menerima laporan rasmi dari Pengerusi Jawatankuasa Pengadil dan juga pengadil yang bertugas (Mohamed Radhi) dan mengadakan mesyuarat tergempar sehingga jam 4.30 pagi bersama juri seramai 6 orang.
“Kita telah mencapai kata sepakat dan berpendapat ini tindakan wajar, tetapi keputusan ini hanya untuk acara ini (regu wanita) sahaja. Mereka tetap boleh bermain dalam acara-acara lain. Kita tidak mahu semangat Sukan SEA terjejas,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga mempertahankan integriti pengadil yang dilantik mengendalikan perlawanan di sepanjang Sukan Sea ini.
“Pengadil yang dipilih adalah pengadil bertaraf antarabangsa, delegasi teknikal menyenaraikan hanya calon terbaik yang berketerampilan, berkredibiliti dan cekap sahaja bertugas di Sukan Sea ini. Malah kita juga tidak meluluskan beberapa pengadil kerana bimbang menjejaskan kualiti, jadi integriti pengadil tidak perlu dipertikai,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Ahmad Ismail menjelaskan bahawa Presiden Majlis Olimpik Indonesia, Erick Thohir dan juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Indonesia , Asnawi Rahman telah menyatakan permohonan maaf atas insiden yang berlaku dan menyatakan harapan agar insiden yang sama ini dijadikan iktibar agar tidak berulang di masa akan datang.