Perebutan pingat gangsa bolasepak lelaki menjanjikan persaingan sengit tatkala Indonesia dan Myanmar kedua-duanya tekad tidak mahu pulang dari Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan tangan kosong. 

Masing-masing dilihat berada dalam keyakinan dan motivasi tinggi di sebalik kekalahan di peringkat separuh akhir pada Sabtu lalu.

Indonesia tewas 0-1 kepada tuan rumah Malaysia menerusi jaringan minit ke-86 N.Thanabalan di Stadium Shah Alam manakala Myanmar pula tewas dengan jaringan sama kepada Thailand menerusi jaringan masa kecederaan Chenrop Sampaodi di Stadium Selayang.

Menurut penolong jurulatih Indonesia, Bima Sakti, pemainnya telah menunjukkan prestasi yang cukup baik di sepanjang KL 2017 dan percaya rentak itu dapat diteruskan dalam aksi penentuan gangsa di Stadium Selayang petang Selasa (29 Ogos). 

 “Kekalahan kepada Malaysia memang perit, tetapi kami tetap gembira dengan prestasi yang telah ditunjukkan di sini. Kini kami masih ada sesuatu untuk diperjuangkan, kami mahu pulang dengan gangsa sebagai hadiah buat penyokong kami,” kata Bima Sakti.  

Manakala pemain pertahanan Indonesia, Gavin Kwan berkata, “Dua tahun lalu kami tewas di penentuan gangsa kepada Vietnam, kami tidak mahu kempunan sekali lagi. Pemain sudah bersedia untuk berikan aksi terbaik.”

Bagi pengendali Myanmar, Gerd Zeise pula, pingat gangsa akan menjadi penawar terbaik buat pasukannya yang tewas setelah memberi tentangan sengit kepada Thailand di separuh akhir. 

“Tiada apa untuk kami kesal, kami tewas kepada pasukan terbaik rantau ini menerusi jaringan masa kecederaan. Pemain-pemain telah tunjukkan kualiti, determinasi dan kesungguhan sepanjang saingan. Tinggal satu aksi terakhir dan semuanya begitu bersemangat mahu tamatkan saingan dengan kemenangan.”kata Zeise. OLEH MUHD AIMAN .

 

- Advertisement -