Oleh Ku Mohd Lufti
Dengan hanya baki 107 hari sebelum temasya dwi tahunan, Sukan SEA ke 29 bermula pada Ogos, hampir kesemua 11 negara telah berkira kira untuk meletakkan sasaran khususnya bagi kutipan pingat emas.
Tatkala ramai yang melihat, Thailand, Vietnam, Singapura dan Malaysia sebagai pencabar pencabar untuk muncul juara keseluruhan, Indonesia lebih gemar untuk bersikap merendah diri.
Indonesia lebih gemar untuk menumpukan kutipan pingat di beberapa sukan tertentu berbanding memburu gelaran juara kesleuruhan.
Timbalan Menteri Olahraga dan Pemuda (Kemenpora) Dr Radin Isnanta menjelaskan sasaran juara keseluruhan bukan tumpuan utama kontinjen Indonesia.
Beliau optimis, jika sasaran pingat emas berjaya dicapai di dalam sukan sukan tertentu, peluang Indonesia dalam persaingan untuk memburu gelaran juara keseluruhan akan terbuka.
“Untuk di Sukan SEA 2017, banyak acara yang menjadi lubuk emas bagi kontinjen Indonesia seperti, olahraga, badminton, renang, sukan tempur dan sebagainya.
“Justeru, acara sukan yang disasarkan, peluang untuk meraih pingat adalah cerah,”kata Dr Radin.
Tambahnya lagi, beliau mengharapkan kerajaan Indonesia menyediakan ganjaran kepada atlet atletnya yang berjaya meraih pingat.
“Tetapi biar semangat Merah Putih menyala dan bersemarak dan kecintaan atlet terhadap negara Indonesia, selepas itu baru fikirkan tentang bonus,”katanya lagi di sidang media selepas Larian Baton Bangkit Bersama di Jakarta.
Sukan SEA 2017 di Malaysia akan bermula dari 19 hingga 30 Ogos melibatkan 38 jenis sukan dan 405 acara.
Indonesia melantik Ketua Umum Pengurus Pusat Persatuan Kriket Indonesia (PP PCI), Aziz Syamsuddin sebagai Ketua Kontinjen (Chef de Mission) Indonesia ke Sukan SEA kali ke 29.
Edisi 28 di Singapura, Indonesia menduduki tangga kelima kesleuruhan dengan kutipan 47 pingat emas, 61 pingat perak dan 74 pingat gangsa.