Hanya pingat emas yang menjadi sasaran jurulatih badminton Malaysia, Indra Wijaya dan ianya mesti dikecap meskipun dengan menundukkan negara kelahirannya Indonesia di perlawanan akhir berpasukan lelaki yang dijadual berlangsung Khamis di Arena Axiata Bukit Jalil.
Bagi Indra, sentimen kenegaraan tidak bermain di fikirannya sebaliknya dia menyatakan kemenangan di final akan menjadi detik cukup manis buatnya yang mula berkhidmat dengan pasukan negara sejak hujung 2015.
“Memang saya sangat mahukan emas, kita di sini untuk menang emas, itu satu-satunya sasaran dan ia satu prestasi (kebanggaan) secara peribadi buat saya, cukup bermakna bukan hanya seluruh rakyat Malaysia sahaja,” katanya.
Pada peringkat separuh akhir yang berlangsung Rabu, ketiga-tiga wakil Malaysia dikerah bermain tiga set sebelum berjaya menundukkan Singapura 3-0.
Iskandar Zulkarnain menghadiahkan mata pertama setelah bangkit dari kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 19-21, 21-17 dan 21-10 ke atas Ryan Ng Zin Rei.
Pasangan beregu Ong Yew Sin-Teo Ee Yee menewaskan gandingan Terry Hee-Loh Kean Hean 21-10, 20-22, 21-15 untuk malaysia mendahului 2-0.
Manakala mata kemenangan hadir menerusi Soong Joo Ven yang turut bangkit dari kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 9-21, 21-17 dan 21-18 ke atas Kean Yew Loh.
Indonesia pula mara ke final dengan menewaskan Thailand 3-1. Mata buat Indonesia disumbangkan oleh Christie Jonatan, Ihsan Maulana dan gandingan Angriawan Berry-Hardianto Hardianto.
“Kita tahu Indonesia mempunyai perseorangan yang lebih berkualiti tetapi yang penting saya mahu pemain menikmati sebaiknya perlawanan akhir dan lari dari tekanan. Dari situlah kita dapat laksanakan taktik yang telah diatur,” tambahnya.
Untuk rekod, Indonesia adalah penyandang pingat emas bagi acara berpasukan lelaki. Dua tahun lalu di Singapura mereka muncul juara setelah menewaskan Thailand di final manakala Malaysia pula berpuas hati dengan gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN