SHAH ALAM 31 May 2014. Indra Putra Mahayuddin from Felda United at the Semi Finals of the FA Cup between Felda United and Kelantan held at Shah Alam Stadium. NSTP/Goh Thean Howe

Nilai kepimpinan tinggi, pengaruh besar dan pengalaman luas – antara faktor yang menjadikan pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin pilihan hangat untuk menggalas tanggungjawab selaku ketua pasukan Kuala Lumpur musim depan.

Jurulatih skuad warga kota itu, Fabio Maciel Da Silva berkata sesebuah pasukan itu memerlukan seorang pemimpin yang dihormati dan disegani serta boleh menjadi contoh yang baik kepada rakan sepasukan dan Indra Putra dilihat mempunyai karakter yang diperlukan itu.

“Saya percaya semua pasukan tahu apa yang menjadikan Indra sebagai pemain yang sangat dihormati sehingga ke hari ini walaupun usianya sudah 36 tahun. Komitmen, dedikasi dan disiplinnya, bagaimana dia menjaga kariernya sejak dari usia remaja.

“Indra berstatus veteran, tetapi dia veteran yang boleh menjadi aset pasukan, bukan veteran yang diambil untuk melengkapkan skuad. Dia membawa aura positif ke dalam pasukan, semua pemain mengagumi dan menyukainya.

“Saya mahukan seorang pemain yang boleh menjadi inspirasi kepada semua pemain di dalam pasukan, dan Indra ada semua ciri itu, jadi saya tidak keberatan untuk melantiknya sebagai kapten,” ujar Fabio.

Indra Putra menyertai juara 100Plus Liga Premier 2017 itu setelah kontraknya bersama Kelantan tidak disambung. Enam musim mewakili Kelantan (2009, 2010, 2012, 2013, 2016 dan 2017), Indra berjaya mencipta nama sebagai antara pemain paling berjaya di dalam sejarah pasukan itu dan menjadi kesayangan peminat.

Jaringannya pada masa tambahan ketika menentang ATM dalam aksi final Piala Malaysia 2012 antara yang paling dikenang peminat – ia membantu Kelantan kendalian Bojan Hodak melengkapkan kejuaraan treble bersejarah setelah turut menjulang Piala FA dan Liga Super.

Selain Kelantan, bekas pemain kebangsaan itu pernah turut beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya Perak (1999-2003), Pahang (2004-2007), Selangor (2008), T-Team (2011) dan Felda United (2014-2015). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -