Jaringan lewat kapten pasukan, Indra Putra Mahyuddin membantu Kuala Lumpur menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Bolasepak Cheras dan kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
Kekalahan buat Negeri Sembilan pula menyaksikan mereka kembali beraksi dalam saingan 100PLUS Liga Premier selepas hanya semusim berada di Liga Super.
Negeri Sembilan yang menduduki tangga kedua tercorot dengan 15 mata sedar mereka wajib menang perlawanan ini untuk terus bernyawa sehingga ke perlawanan terakhir musim. Namun segalanya tampak tidak menjadi buat skuad Mario Lemos itu.
Skuad warga kota pula memerlukan hanya keputusan seri untuk memastikan kedudukan mereka dalam kelompok 10 teratas selamat.
Walaupun mempunyai beberapa peluang jaringan, ianya sama ada dinafikan oleh ketiadaan sentuhan penyudah ataupun kecemerlangan Sharbinee Allawee Ramli di gawang KL.
Ketika separuh masa pertama dilihat menghampiri keputusan tanpa jaringan, KL memecah kebuntuan pada minit ke-41 menerusi pemain pertahanan Boburjan Akbarov namun ianya bertahan hanya dua minit apabila Alex De Morais menanduk masuk gol penyamaan.
Kedua-dua pasukan gagal mencipta tambahan jaringan di separuh masa kedua, sehinggalah tiga minit sebelum tamat permainan apabila Indra yang baru kembali dari penggantungan satu perlawanan menolak masuk dari jarak dekat hantaran sepakan percuma rakan sepasukan.
Sementara itu, hasrat Perak untuk mengesahkan kedudukan selaku naib juara Liga Super tidak menjadi kenyataan selepas diikat Kedah tanpa jaringan di Ipoh.
Perak mengumpul 36 mata dan mereka kini bersaing dengan Pahang (34 mata) untuk kedudukan kedua. Skuad Mehmet Durakovic itu perlu menang perlawanan terakhir menentang PKNS FC untuk mengulangi pencapaian 2007.