Hasrat Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran menyuntik nafas dan membina sebuah legasi baru dalam arena sepaktakraw tanah air dengan mengambil alih kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak kesampaian.
Markiman yang berkempen secara all-out untuk mendesak berlakunya perubahan dalam PSM, gagal untuk menewaskan penyandang jawatan Presiden, Datuk Seri Ahmad Ismail pada pemilihan kepimpinan baru badan induk itu di Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung pada Ahad.
Sebaliknya, Ahmad Ismail atau Tok Mat terus kebal, mempertahankan jawatan yang dipegangnya sejak 15 tahun lalu sejak 2003, memenangi kerusi itu bagi penggal 2018-2021 menewaskan Markiman dengan kiraan 51-16 undi. Jumlah majoriti yang begitu besar itu juga membuktikan betapa dominasi Tok Mat bukanlah sesuatu yang mudah untuk diruntuhkan.
Sebaik diumumkan sebagai pemenang, Tok Mat yang juga merupakan presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang menyatakan harapannya agar tiada lagi perpecahan yang berlaku di dalam badan itu dan menggesa semua ahli gabungan supaya kembali bersatu demi memartabatkan semula sukan sepaktakraw.
Beliau juga berharap sekiranya ada ahli gabungan yang tidak berpuas hati dan mahu mengemukakan sebarang cadangan penambahbaikkan terhadap urus tadbir PSM, mereka menggunakan saluran yang betul.
“Kita perlu kembali bersatu dan bekerja dengan penuh keikhlasan demi sukan yang kita sayangi ini. Saya bercadang menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji beberapa pindaan terhadap perlembagaan ke arah menambahbaik sistem pemilihan jawatan tinggi dalam PSM supaya lebih relevan pada masa depan.
“Selain itu, kita juga akan mengkaji sistem pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) supaya lebih telus kerana sebelum ini pelantikan mereka dibuat oleh persatuan negeri,” katanya yang menjelaskan bahawa satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membolehkan pindaan perlembagaan dilakukan akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden pula kekal milik Datuk Akramuddin Abdul Aziz selepas memperoleh 51 undi, menewaskan pencabarnya yang merupakan Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis, Syed Al Raniri Syed Ahmad Al Edroos yang sekadar beroleh 14 undi.
Bagi tiga jawatan naib presiden pula ianya dimenangi Presiden Persatuan Sepaktakraw Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman (62 undi); Presiden Persatuan Sepaktakraw Sabah, Datuk Awang Sham Amit (53 undi) dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan, Datuk Sumali Reduan (51 undi).
Mereka menewaskan dua calon lain iaitu bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil PSM, Abdul Razak Rahman yang memperoleh 12 undi dan Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Kedah, Syed Husain Syed Abu Bakar (11 undi).
KEPUTUSAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PSM 2018
Presiden
YBhg Dato’ Seri Haji Ahmad Ismail – 51
YBhg Dato’ Markiman Kobiran – 16
Timbalan Presiden
YBhg Datuk Akramuddin Hj Ab Aziz – 51
Tuan Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos – 14
Naib Presiden
YBhg Dato’ Haji Abd Halim Suleiman – 62
YBhg Dato’ Haji Awang Sham Hj Amit – 53
YBhg Dato’ Mohd Sumali Reduan – 51
Tuan Hj Ab Razak Rahman – 12
Tuan Syed Hussain Syed Abu Bakar – 11