Oleh Muhammad Aiman
Pelaksanaan hukuman pemotongan mata terhadap pasukan yang berdepan tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disambut baik oleh Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).
Cadangan itu bukanlah sesuatu yang baru malah pernah beberapa kali disebut sepanjang musim lalu namun tidak pernah dilaksanakan kerana kekangan tertentu.
Begitupun, Football Malaysia Limited Liability Partnership menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam kembali membangkitkan mengenai perkara itu setelah perkembangan terbaru mendapati terdapat sekurang-kurangnya enam pasukan Liga Malaysia yang berdepan masalah tunggakan gaji dan caruman KWSP.
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata pihaknya menyambut baik dan bersetuju dengan langkah FMLLP kerana menurutnya ini dapat membendung pasukan-pasukan yang terbabit dari bersikap sambil lewa menangani isu ini.
“Cadangan ini dapat disifatkan sebagai mesej yang jelas betapa isu tunggakan gaji adalah perkara yang sangat serius dan mesti dibasmi sepenuhnya. Ia juga adalah sebagai lambang keadilan buat pemain yang telah lama menunggu hak mereka.
“Mereka terpaksa menempuh suatu tempoh kehidupan yang sukar kerana sikap tidak serius yang ditunjukkan oleh pasukan untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.
Isu tunggakan gaji dalam arena bolasepak tanah air bukan sesuatu yang asing. Musim lepas, Persatuan Bolasepak Kelantan antara yang paling bermasalah apabila berdepan masalah kewangan tenat hampir keseluruhan musim sehingga kes mereka diheret ke pengetahuan badan induk bolasepak dunia, FIFA.