ORANG ramai dijemput untuk turut serta memeriahkan lagi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017 – KL2017) melalui satu inisiatif khas yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Malaysian Organising Committee – MASOC) KL2017, iaitu acara Larian Sukan SEA 2017. Inisiatif ini diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media yang telah diadakan pada 22 Mei 2017 di MASOC, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil. Turut hadir di sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Dato’ Seri Zolkples Embong dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Dato’ Low Beng Choo.
Terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga asing, Larian Sukan SEA 2017 adalah anjuran MASOC dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia dan Kesatuan Olahraga Malaysia. Ia bakal diadakan pada Sabtu, 19 Ogos 2017, iaitu pada hari yang sama acara Sukan SEA, iaitu Maraton sejauh 42.195 km berlangsung.
Pada hari tersebut, Maraton Sukan SEA akan bermula pada jam 6 pagi, manakala Larian Sukan SEA 2017 akan dilepaskan pada pada jam 7 pagi di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya di Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya.
Larian Sukan SEA 2017 terbahagi kepada dua kategori dengan jarak yang berbeza. Kategori pertama adalah larian sejauh 15 kilometer yang terbuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas. Larian kategori ini akan dilepaskan pada pukul 7.00 pagi. Yuran penyertaan bagi kategori ini pula adalah RM60.
Sementara itu, kategori kedua adalah larian dengan jarak 5 kilometer yang mensasarkan penyertaan yang lebih daripada keluarga. Penyertaan bagi larian kategori ini dikenakan yuran sebanyak RM50. Kategori ini akan akan dilepaskan pada pukul 7.30 pagi.
Setiap peserta yang menamatkan larian akan diberikan medal yang direka khas (SEA Games Commemorative Medal) dan sijil penyertaan. Juga disediakan adalah kemeja-T, goodie bag dan insuran insuran kemalangan peribadi sehari (one day personal accident insurance). Peserta kategori 15 kilometer juga akan dibekalkan dengan nombor bip tersendiri dan cip masa.
Bercakap di sidang akhbar tersebut, YB Brig. Jen. Khairy berkata, “Ini bukanlah satu pertandingan dan tiada hadiah tempat teratas disediakan. Apa yang lebih penting bagi kami ialah untuk orang awam turun ke padang sendiri pada hari pertama temasya KL2017 ini dan menyatakan sokongan padu mereka kepada peserta larian maraton Sukan SEA.”
Tambah beliau, “Sehubungan itu, kami amat menggalakkan orang ramai yang telah tamat larian masing-masing untuk menunggu pelumba Maraton Sukan SEA yang dijangka akan tiba di garisan penamat pada lebih kurang jam 8.30 pagi untuk bersorak menyokong pertandingan ini dan dalam menaikkan lagi semangat mereka.”
Pendaftaran untuk Larian Sukan SEA 2017 dibuka sekarang dan akan ditutup pada 30 Jun 2017, atau lebih awal lagi sekiranya sasaran 20,000 orang mendaftar dicapai. Orang ramai boleh mendaftar secara peribadi (walk-in registration) di Pejabat Federal Territory Kuala Lumpur Athletic Association (FTKLAA) di Tingkat 2, Wisma OCM, Jalan Hang Jebat, 50150 Kuala Lumpur.
Pendaftaran yang lengkap dengan borang dan bukti pembayaran yuran penyertaan juga boleh dibuat melalui pos dengan menghantar dokumen yang berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan di alamat FTKLAA seperti yang telah dinyatakan tadi. Dalam masa yang sama, pendaftaran melalui talian boleh dibuat di www.kualalumpur2017.com.my.
Sebagai pembuka acara kepada upacara pembukaan rasmi KL2017 yang dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos 2017 di sebelah malam, Larian Sukan SEA 2017 akan mengambil tempat pada pagi hari yang sama.
KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.