joseph.tie
Joseph Kallang

Oleh Muhammad Aiman

Belum pun bergelar jurulatih Terengganu secara rasmi, Irfan Bakti Abu Salim sudahpun meluahkan rasa kecewanya terhadap Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berikutan penyebaran ‘maklumat sulit’ mengandungi nama pemain termasuk import baharu, beserta gaji dan elaun yang ditawarkan kepada mereka di medial sosial sejak beberapa hari lalu.

Irfan yang bersetuju kembali membimbing sang penyu bagi mengharungi saingan musim 2017 selepas tiga musim bersama Felda United berkata, “Kami masih dalam proses perbincangan dengan pemain dan maklumat yang tersebar itu adalah rahsia persatuan. Bagaimana ianya boleh bocor, malah kurang tepat.”

Menerusi maklumat tersebar, Terengganu yang tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan dilaporkan hanya mengekalkan beberapa pemain antaranya penjaga gol Sharbinee Allawee Ramli, Shahrin Sapien, Ismail Faruqi Ashari dan Fakhrurazi Musa.

Manakala beberapa nama besar seperti Ashaari Samsudin, Joseph Kalang Tie, Zubir Azmi, Nordin Alias, Hairuddin Omar, Zairo Anuar Zailani, Hasmizan Kamarudin dan Affize Faisal Mamat kesemuanya digugurkan.  

“Agak menyedihkan apabila pemilihan pemain belum selesai dan latihan juga belum bermula, sesetengah pihak sudahpun melaporkan yang bukan-bukan dan ini boleh menjejaskan persiapan dan perancangan saya. Ini betul-betul membuatkan saya kecewa dan tawar hati.”

Justeru, pengendali dari Kelantan itu menegaskan dia tidak mahu bekerja dalam suasana dikelilingi individu kurang profesional malah memberi bayangan jelas untuk tidak menerima tawaran PBSNT sekiranya perkara seperti ini berlanjutan dan tidak dihentikan segera.    

“Saya minta hentikan segera permainan ini kerana saya mudah tersentuh, jika beginilah situasinya saya mungkin akan memikirkan semula sama ada mahu kembali melatih Terengganu atau tidak. Jika mereka terus menyiarkan berita tidak benar berkenaan pasukan, saya akan mengambil keputusan undur diri kerana saya belum lagi menandatangani kontrak,” ujar Irfan lagi.

Irfan sebelum ini pernah membimbing Terengganu pada tahun 2010 dan 2011, di mana dia berjaya membawa pasukan dari pantai timur itu muncul juara Piala FA dan Piala Malaysia 2011 selain muncul naib juara Liga Super pada tahun sama.

Kemelut pengurusan PBSNT menyaksikan Irfan berhijrah melatih Selangor selama dua musim berikutnya dengan pencapaian terbaik adalah membawa Red Giants muncul naib juara Liga Super pada 2013 sebelum dipancing Felda United pada 2014.

Dia membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Super musim ini seterusnya layak beraksi di Piala AFC tahun depan, namun memilih melepaskan jawatannya bersama pasukan itu berikutan rasa tanggungjawab di atas kegagalan menamatkan musim tanpa sebarang trofi.   

- Advertisement -