Oleh Muhammad Aiman
Kecederaan patah jari tangan kiri ketika sesi latihan hampir pasti menyaksikan Irfan Zakaria tersisih dari skuad B-22 kebangsaan yang akan bertandang ke Myanmar bagi mengharungi dua aksi persahabatan bulan depan.
Pemain tengah Kuala Lumpur itu mengalami kecederaan tersebut pada Rabu lalu sekaligus tidak dapat beraksi pada perlawanan latihan menentang skuad senior kebangsaan petang tadi, namun dia tetap kekal positif.
“Apa yang penting untuk saya sekarang adalah perlu pulih sepenuhnya, jika tidak sempat untuk pulih sebelum ke Myanmar, tidak mengapa kerana ia hanya perlawanan persahabatan. Kalau ianya perlawanan penting, mungkin saya akan kecewa. Buat masa ini, adalah lebih penting saya bekerja keras untuk terus kekal dalam skuad Sukan Sea ini,” katanya.
Dalam pada itu, skuad B-22 kebangsaan kendalian Frank Bernhardt tewas tipis 3-4 kepada skuad senior bimbingan Dato’ Ong Kim Swee dalam perlawanan latihan yang berlangsung di Padang Wisma FAM, petang tadi.
Skuad B-22 dua kali mendahului di separuh masa pertama namun beberapa kesilapan dilakukan pemain pertahanan membolehkan pasukan senior meraih kemenangan moral menjelang aksi menentang Papua New Guinea pada Isnin, sebelum berlepas ke Yangon untuk Piala AFF Suzuki 16 November depan.
Bagi Bernhardt, meskipun menjaringkan tiga gol menerusi Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad dan Jafri Firdaus Chew, dia berpendapat masih terlalu banyak kepincangan perlu diperbaiki bagi menjadikan skuad projek Sukan Sea ini sebagai satu pasukan mantap dan berupaya tampil kompeten di pertandingan kompetitif.
Latihan pusat skuad B-22 yang bermula pada 5 November lalu akan berakhir pada 13 November ini dengan Bernhardt telahpun memanggil enam lagi muka baharu untuk memperkuatkan pasukan iaitu penjaga gol meningkat naik Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Nur Syamie Iszuan Amin (Sarawak), Tommy Mawat (Sabah), S.Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (P.Pinang) serta Adam Nor Azlin (Selangor).