Hanya dua hari selepas memecahkan rekod kebangsaan dan Asia Tenggara di Jerman, jaguh lempar cakera kebangsaan, Irfan Shamsuddin sekali lagi mencetus sensasi apabila memperbaharui rekod itu di Kejohanan Olahraga Terbuka Turnov, Republik Czech awal pagi Rabu.

Walaupun sekadar menduduki tempat keempat di belakang Martin Wierig dari Jerman (64.73m), Piotr Malachowski (64.53m) dan Robert Urbanek dari Poland (63.70m), lemparan sejauh 61.56m direkodkan Irfan mengatasi 61.10m yang dilakarnya di Halle, Jerman pada Isnin lalu .

Institut Sukan Negara dalam kemaskini terbaru menyatakan bahawa catatan itu berpotensi mengangkat Irfan sebagai lima atlet terbaik di Asia dalam Ranking Olahraga Asia dan berada di kalangan 100 atlet terbaik dunia sekaligus mengukuhkan peluangnya untuk memenangi pingat di Sukan Asia 2018.

“Saya pernah katakan tahun lalu saya tidak akan berpuas hati selagi lemparan tidak cecah 60m, dan ianya sangat mengujakan untuk melihat rekod tahun lalu (di Slovakia) berjaya diatasi dua kali dan bertambah baik lebih dua meter.

“Saya turut gembira apabila mendapati ia mengatasi rekod Sukan Sea, sudah tentunya memberi satu suntikan dan motivasi untuk beraksi baik mempertahankan emas di Kuala Lumpur 2017,” kata Irfan yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Sea 2013 dan 2015.

Tambahnya lagi, “Latihan intensif di Eropah ini boleh membantu saya buat lagi baik dalam beberapa kejohanan tahun ini. Tahun lalu, saya pecahkan rekod sebanyak tiga kali di Eropah dan saya berharap dapat mengulanginya kali ini.”

Pada Isnin lalu, Irfan memulakan penyertaan dalam pertandingan di bumi Eropah dengan penuh bergaya apabila memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri di Kejohanan Hallesche  Werfertage, di Halle, Jerman.

Lemparan dilakukan Irfan buat pertama kalinya berjaya melepasi angka 60 meter, iaitu 61.10m sekaligus memadam rekod terdahulu 59.29m yang dilakukannya di Kejohanan Kelab-Kelab Slovak di Samorin, Slovakia pada Jun tahun lalu.

Catatan itu membolehkan Irfan yang berlepas untuk menjalani latihan selama hampir dua bulan di Eropah pada 6 Mei lalu, menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang dua atlet tuan rumah iaitu Clemens Prufer (62.29m) dan Torben Brandt (62.09).

Lebih manis, catatan atlet berusia 22 tahun itu turut mengatasi rekod Sukan Sea 59.50m milik Wong Tuck Ying dari Singapura yang dilakar ketika temasya Brunei 1999.

Untuk rekod, pada Mei tahun lalu Irfan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya buat pertama kali dalam penyertaan di kejohanan yang sama ini di Halle dengan melakukan 58.33m – ia mengatasi rekod terdahulu 58.04m dirakam ketika Terbuka Malaysia 2015.

Seminggu kemudian, dia melakukan lemparan sejauh 58.48m ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Liese Prokop Memorial (St. Polten, Austria) dan 59.29m di Slovakia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -