jan-o-jorgensen

Oleh Ku Mohd Lufti

Kejutan dilakar pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin apabila melangkah ke peringkat separuh akhir buat pertama kali dalam saingan kejohanan badminton Siri Super Premier.

Di peringkat suku akhir Terbuka China, Iskandar menundukkan pemain ranking ke 26 dunia yang juga wakil tuan rumah, Qiao Bin straight set 21-19, 21-17.

Kemenangan Iskandar sekaligus ibarat misi membalas dendam ke atas lawan yang sama dimana beliau tewas ketika di Terbuka Korea, September lepas.

Ini merupakan kali pertama Iskandar melepasi pusingan suku akhir Siri Super selepas tujuh kejohanan musim ini.

Tugas getir menanti Iskandar yang juga pemain ranking ke 33 dunia ini apabila dijadual berdepan pemain kelahiran Denmark, Jan O Jorgensen di separuh akhir.

Jorgensen, pemain nombor enam dunia, mara selepas menewaskan wakil tuan rumah, Tian Houwei yang berada satu ranking di bawahnya, 14-21, 21-16, 21-14 dalam satu lagi aksi suku akhir.

- Advertisement -