Tan Kian Meng
Tan Kian Meng

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah memilih pemain perseorangan nombor dua kebangsaan Iskandar Zulkarnain Zainudin dan pemain beregu campuran Tan Kian Meng sebagai rakan ‘sparring’ skuad badminton negara di Sukan Olimpik Rio De Janeiro bulan depan.

Setiausaha BAM yang juga pengurus pasukan ke Rio, Ng Chin Chai berkata, “Kami telah memilih pemain untuk ‘sparring’ setelah mengambil kira banyak perkara. Kian Meng menjadi pilihan kerana dia pernah beraksi sebagai pemain perseorangan dan dia boleh digunakan dalam kedua-dua acara perseorangan dan beregu.”

Untuk rekod, Iskandar, pemain berusia 25 tahun yang merupakan juara Grand Prix Kebangsaan berada di ranking 31 dunia dan telah membawa cabaran negara di Piala Thomas pada Mei lalu manakala Kian Meng pula berada di ranking ke-37 dunia dalam acara beregu campuran bersama gandingannya Lai Pei Jing.

Mereka akan berlepas ke Rio pada 29 Julai ini, bersama-sama skuad yang akan diketuai oleh Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, Tee Jing Yi, Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying.

Kedua-dua Iskandar dan Kian Meng bagaimanapun akan pulang ke tanah air, sebelum pertandingan badminton bermula di Rio – Sukan Olimpik Rio akan membuka tirainya pada 5 Ogos manakala badminton hanya akan berlangsung pada 11 Ogos.

Selain itu, skuad badminton ke Rio juga akan turut dianggotai empat jurulatih iaitu Hendrawan dan Tey Seu Bock (perseorangan), Jeremy Gan dan Chin Eei Hui (beregu), serta seorang pakar fisioterapi dari Institut Sukan Negara.

Sejak dua temasya Olimpik yang lalu, badminton menyumbang pingat perak kepada kontijen negara – kedua-duanya menerusi Chong Wei dan sekali lagi, pemain berusia 33 tahun itu merupakan sandaran utama Malaysia untuk menoktahkan kemarau emas di temasya sukan terbesar dunia itu.    

- Advertisement -