Oleh Ku Mohf Lufti
Pemain perseorangan lelaki kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin antara wakil negara yang berjaya mara ke pusingan kedua Grand Prix Emas Terbuka Macau di Tap Seac Multisport Pavilion.
Pemain bukan pilihan itu menewaskan pemain Amerika Syarikat, Lee Hock Lai dengan keputusan straight set 21-17, 21-19.
Namun beliau bakal berdepan tugas sukar di pusingan kedua kerana akan berdepan pilihan kelima dari Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki.
Dalam pada itu, dua bekas pemain kebangsaan, Liew Daren dan Tan Chung Seang turut mara ke pusingan kedua.
Liew Daren diheret bermain sehingga ke set penentuan sebelum menumpaskan Lee Chak Wai dari Hong Kong 25-23, 19-21, 21-15 selepas bertarung selama 55 minit.
Manakala Tan Chung Seang hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan pemain tuan rumah, Ao Fei Long 21-14, 21-16.
Pemain profesional Malaysia, Chong Wei Feng, dalam pada itu mara ke pusingan ketiga, selepas lawannya yang juga pilihan ketiga, K. Srikanth dari India menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan.
Sebelum itu, Wei Feng mengalahkan pemain Indonesia, Evert Sukamta 21-17, 21-12 di pusingan pertama.
Kejohanan GP Emas Terbuka Macau menawarkan hadiah wang tunai US$120,000 atau RM535,374.