Oleh Ku Mohd Lufti
Jasuh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei meletakkan sandaran kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai calon terbaik untuk menggantikkannya sekaligus menggalas tugas selaku perseorangan negara di Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Ini kerana, Iskandar sudahpun diberi peluang untuk merasai sendiri suasana di temasya Olimpik selepas dibawa sebagai rakan sepelatih Chong Wei ketika di sukan Olimpik Rio baru baru ini.
“Dia dapat lihat dan rasa bagaimana pemain pemain mula merasakan tekanan sebelum pertandingan bermula dan ini akan memberi kelebihan kepadanya kelak,” kata Chong Wei.
Tambah Chong Wei lagi, Iskandar perlu bekerja lebih keras untuk mempertingkatkan lagi dirinya sebagai pemain perseorangan kerana pesaing pesaing utama dunia menanti di Tokyo nanti.
Datuk Lee Chong Wei mahu melupakan kekalahan dipentas final Olimpik Rio 2016 dan mahu memberi tumpuan terhadap persiapan untuk memburu pingat di Kejohanan Dunia, di Glasgow tahun depan.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menamatkan kariernya sebagai olimpian Malaysia dengan tiga pingat perak selepas meraihnya di Olimpik 2008 (Beijing), 2012 (London) dan 2016 di Rio.
Lin Dan menjadi penghalang Chong Wei ketika di Beijing dan London manakala pemain nombor dua dunia, Chen Long meranapkan peluang terakhir di Rio.