Oleh Ku Mohd Lufti
Cabaran pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain di Terbuka China berakhir apabila gagal menempatkan diri ke final selepas tewas kepada pilihan keempat dari Denmark, Jan O Jorgensen.
Set pertama, semangat juang Iskandar ternyata lebih tinggi berbanding Jorgensen apabila saling mengekori rapat lawannya diawal set.
Iskandar terus mengorak langkah mengejutkan lawannya selepas kedudukan terikat 9 sama dan hanya memerlukan satu mata untuk menutup set pertama selepas mendahului 20-16.
Namun Jorgensen bangkit perlahan lahan selepas bijak membaca kelemahan Iskandar untuk mengikat kedudukan 20 sama sebelum melakar kemenangan 22-20.
Cerita yang hampir sama berlaku di set kedua apabila kedua dua pemain saling berkejaran mata sehingga ke penghujung perlawanan.
Set kedua tampak menjadi milik Iskandar apabila Jan O Jorgensen mula banyak melakukan kesilapan untuk memberikan kemenangan 22-20 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.
Dua set dengan permainan deuce nyata meletihkan Iskandar yang tampak hilang fokus dan banyak melakukan kesalahan.
Jorgensen memanfaatkan kelebihannya sebagai pemain berpengalaman apabila menutup set ketiga dengan kemenangan 21-7 selepas bertarung selama 58 minit
Menanti Jorgensen di final adalah pemain tuan rumah yang juga pilihan kedua, Chen Long selepas berjaya menundukkan rakan Viktor Axelsen 21-18, 9-21, 21-14.