Oleh Muhammad Aiman
Pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin besar kemungkinan tidak akan beraksi di Kejohanan Malaysia Masters di Sibu, yang akan bermula minggu depan berikutan kecederaan pinggang yang dialaminya ketika latihan beberapa hari lalu belum menampakkan tanda-tanda akan pulih dalam masa terdekat.
Pemain berusia 25 tahun itu yang merupakan naib juara edisi tahun lalu di Pulau Pinang selepas tewas kepada Datoâ Lee Chong Wei berkata dia akan menilai tahap kecederaannya dan mendapatkan nasihat doktor sebelum membuat keputusan.
âSaya akan tengok dulu keadaan, jika masih rasa tidak selesa saya akan tarik diri dari Malaysia Masters tapi saya perlu bercakap dulu dengan jurulatih dan doktor pasukan. Memang ianya satu kekecewaan besar bagi saya jika tidak dapat bermain di Sibu selepas menampilkan aksi memberansangkan pada 2016, tetapi saya rela lepaskan berbanding mengambil risiko,â kata pemain di ranking 23 dunia itu.
Iskandar diletakkan sebagai pilihan kesembilan di kejohanan berstatus Grand Prix itu yang menawarkan ganjaran keseluruhan US$120,000 (RM537,000) dan dijadual berdepan pemain tidak ternama dari India, Hermanth M.Gowda di pusingan pertama.
Andai dia membuat keputusan menarik diri, maka kejohanan pertama yang akan disertai Iskandar bagi tahun 2017 adalah Cabaran Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India dari 24 â 29 Januari depan.
Iskandar jelas membara mahu meneruskan kecemerlangan dicipta pada 2016 yang menyaksikannya mara ke separuh akhir Terbuka Taiwan pada Julai dan Terbuka China pada November selain membantu pasukan negara muncul naib juara Piala Thomas di Kunshan pada Mei.