Oleh Ku Mohd Lufti
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, PKBM semalam mendedahkan bahawa pihaknya menerima permohonan daripada pengurusan tertinggi pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) untuk berbincang bagi isu tuntutan elaun.
Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan pihak pengurusan tertinggi TSG menyatakan hasrat tersebut menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSG, Farhan Abdul Wahab bersama pelumba yang terlibat.
“Kita terima permintaan TSG kelmarin. Mereka mahu berjumpa untuk berbincang secara damai. Saya tegaskan kepada mereka inilah kaedah penyelesaian terbaik. Perkara ini (pendedahan menerusi media) tak sepatutnya berlaku. Saya ada hubungan baik dengan CEO TSG. Sepatutnya pelumba minta pengurusan tertinggi TSG menghubungi PKBM untuk selesaikan masalah ini. Bukannya terjah dalam media. Dalam hal ini, saya setuju dengan pendirian Farhan yang tegaskan bahawa kaedah terbaik (selesaikan masalah ini) adalah menerusi perbincangan. Perkara ini akan berlarutan tanpa jalan penyelesaian sekiranya dakwaan demi dakwaan didedahkan menerusi media,” katanya.
Pertemuan tersebut yang akan disertai semua Ahli Exco PKBM bakal diadakan di Melaka selepas berakhirnya Lumba berbasikal Jelajah Thailand 2016 , 7 April nanti.
Abu Samah menjelaskan pihaknya turut gembira dengan kenyataan Farhan pada Sabtu lalu yang menegaskan betapa isu berkaitan dakwaan PKBM gagal mengotakan janji pembayaran elaun Sukan Sea 2015, sudah hampir selesai.
Minggu lalu, Mohd Adiq Hussainie Othman , mewakili beberapa pelumba TSG kecewa PKBM gagal untuk mengotakan janji membayar elaun bulanan berikutan kejayaan memenangi dua pingat emas di temasya dwitahunan di Singapura pada 2015.
“Saya tak mahu tuding jari salahkan sesiapa. Cuma, sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa saya tak pernah berjanji mahu bayar elaun bulanan kepada mereka. Apa yang berlaku adalah saya berjanji akan bawa resolusi kepada MSN (Majlis Sukan Negara) agar mereka diberikan elaun bulanan. Janji untuk membawa resolusi itu kepada MSN sudah pun saya tunaikan. Saya mula bergelumang dalam sukan berbasikal sejak 1985 dan sudah berkhidmat di bawah lima Ketua Pengarah MSN sebelum ini. Walaupun saya tidak ada kelayakan yang hebat, namun saya faham dengan apa yang saya katakan. Dan saya tahu apa kesannya kalau saya berjanji tapi tidak mampu tunaikan perkara itu. Kita tak boleh sembarangan berjanji,” katanya.