Kecederaan dialami pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei menjadi topik utama dibicarakan ketika ini tatkala ianya menjadi tamparan hebat buat kem badminton negara yang sedang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Peluang Jin Wei yang merupakan sandaran emas untuk beraksi di temasya dwitahunan itu menjadi tanda tanya berikutan kecederaan buku lali berulangnya ini dengan hanya berbaki 22 hari sahaja lagi sebelum temasya bermula.
Perancangan kurang teliti mengenai pengurusan jadual latihan dan pertandingan dikaitkan sebagai punca utama mengapa Jin Wei kerap dibelenggu masalah kecederaan namun Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria enggan cepat melatah.
Norza sebaliknya berkata sesiapa yang membuat andaian tersebut perlu bercakap berdasarkan fakta justeru beliau menunggu keputusan ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) dari Institut Sukan Negara terlebih dahulu sebelum membuat rumusan mengenai punca kecederaan itu.
“Saya bersimpati dengan tanggungjawab berat digalas Jin Wei, dia perlu bertanding di peringkat remaja dan dalam masa sama diberi tanggungjawab mengalas cabaran di peringkat senior.
“Tetapi, sama ada dia terlebih penat atau tidak, seperti yang saya katakan kalau ada enam atau tujuh kejohanan yang dia tidak pergi ke final, mungkinkah ia boleh dikaitkan dengan kepenatan sehingga mendatangkan kecederaan.
“Kita akan turut meminta bantuan pakar psikologi dari ISN untuk menilai keupayaan Jin Wei dalam menghadapi tekanan secara keseluruhan kerana ia mungkin juga berkait dengan tahap pemikiran yang belum diselesaikan,” kata Norza.
Jin Wei yang kembali dari kecederaan pada April lalu, mara ke final peringkat senior pertamanya pada awal Julai ketika beraksi di Terbuka Taiwan dan ia kemudiannya disusuli dengan kejayaan memenangi gelaran perseorangan dan berpasukan wanita di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) pada pertengahan Julai.
Belum sempat berehat, dia kemudiannya membantu cabaran negara di Kejohanan Remaja Asia di Jakarta pada minggu lalu namun menarik diri sebelum aksi separuh akhir menentang Indonesia kerana kecederaan buku lali.
Ditanya mengenai perlunya Jin Wei beraksi di begitu banyak kejohanan terutama peringkat sekolah dan remaja pada ketika dia sudahpun bergelar pemain senior, ini jawapan Norza.
“Jangan kita lupa, Jin Wei baru berumur 17 tahun dan masih merupakan pelajar sekolah. Apabila kita bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, salah satu daripada persetujuan kita capai adalah untuk perkuatkan pasukan remaja dan kementerian meminta Jin Wei untuk mewakili Malaysia di ASG.
“Di peringkat senior, kita tidak mempunyai pemain senior yang ke hadapan, sekaligus membuatkan kita meletakkan tanggungjawab di bahunya sebagai wakil negara di peringkat senior. Jadi, dia ada dua tanggungjawab,” tegas Norza.
Andai Jin Wei gagal pulih sepenuhnya menjelang KL 2017 yang membuka tirai pada 19 Ogos, dia mungkin akan digantikan oleh seorang lagi pemain muda, S.Kisona yang mencuri tumpuan dengan menewaskan dua anggota skuad Sukan SEA iaitu Lim Yin Fun dan Lee Ying Ying dalam laluan menjuarai Siri Antarabangsa Malaysia di Putrajaya baru-baru ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN