Pemain import Kelantan Cassio Francisco de Jesus mengakui saingan Liga Malaysia masih antara liga terbaik di rantau ini meskipun dipalit beberapa kontroversi termasuk tunggakan gaji pemain.
Menurut bek tengah skuad The Red Warriors (TRW) itu, perkembangan Liga Malaysia dapat dilihat dengan peningkatan prestasi pemain tempatan serta kehadiran pemain import berkualiti musim ini.
“Saya fikir tahun ini lagi bagus daripada tahun lalu, ramai pemain import yang datang ke Malaysia bagus-bagus. Kita lihat saja JDT (Johor Darul Takzim), mereka membawa masuk pemain bagus dari Brazil Diogo Luis Santo yang sebelum ini beraksi dengan kelab besar Buriram di Thailand.
“Selain Malaysia, saya hanya bermain di Liga Indonesia selepas bersama beberapa kelab di Brazil. Pemain-pemain di sini lebih bagus, pengurusan juga bagus kerana itu pemain di sana (Indonesia) mahu datang ke sini. Mungkin masih ada lagi beberapa kekurangan tapi kita dapat lihat ada usaha untuk mengatasinya.
“Musim ini saya lihat semua pasukan membuat persiapan yang rapi, tidak kira Liga Super atau Liga Premier. Saya harap Liga Malaysia akan menjadi lagi bagus dan terus meningkat daripada tahun lalu,” kata bekas pemain kelab Indonesia, Semen Padang itu.
Cassio, pemain kelahiran Sao Paulo, Brazil menyertai Kelantan musim lalu namun dia kecewa kerana gagal membantu TRW mengelak daripada tersingkir ke Liga Premier.
Dia percaya, tempat sebenar Kelantan adalah di Liga Super dan bersedia untuk membantu pasukan juara 2011 dan 2012 itu kembali ke saingan elit musim depan.
“Kelantan pasukan besar, kami seharusnya bermain di Liga Super, bukan di Liga Premier jadi, kami kena bekerja keras dan saya harap kami akan layak ke Liga Super 2020,” katanya.
Kelantan akan memulakan kempen Liga Premier menentang Selangor United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 2 Februari ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN