6

Oleh Muhammad Aiman

Penjaga gol Johor Darul Takzim, Mohd Izham Tarmizi Roslan menyimpan hasrat agar akan terus dikekalkan sebagai penjaga gol utama pasukan negara sekaligus membayangkan kesediaannya mengambil alih posisi nombor satu yang digenggam erat Khairul Fahmi Che Mat sejak sekian lama.

Dato’ Ong Kim Swee memilih untuk memberikan Izham aksi kesebelasan utama ketika dua perlawanan play-off Piala Asia menentang Timor Leste pada 2 dan 6 Jun lalu, dan dia membalas kepercayaan dengan beraksi cemerlang dalam dua perlawanan tersebut, mengekalkan rekod tanpa bolos.

Ditemui sports247.my sebelum berlepas ke Jelajah Oceania pada Sabtu, Izham berkata dia semakin yakin dengan prestasinya dan mahu terus bekerja keras untuk berada di tahap terbaik.

“Prestasi pada perlawanan sebelum ini saya anggap sebagai satu permulaan untuk melangkah lebih jauh. Saya tidak boleh berasa selesa dan masih banyak perlu saya tingkatkan dan belajar dari pemain seperti Apek, Farizal.

“Saya bersedia jika jurulatih merasakan saya boleh jadi nombor satu tetapi biarlah itu jurulatih tentukan, yang penting saya buat terbaik dalam latihan untuk terus meyakinkannya,” ujar penjaga gol berusia 25 tahun itu.

Izham yang menyertai JDT pada musim lepas setelah meninggalkan Harimau Muda, turut mengakui dia tidak menduga akan segera kembali ke skuad kebangsaan apatah lagi sebelum ini dia lebih banyak menjadi pilihan kedua di belakang Farizal Marlias di JDT.

“Sememangnya langsung tidak pernah saya jangka. Saya ke sini, ketika itu ada Farizal, Norazlan Razali, Al Hafiz Hamzah. Jadi ia satu cabaran buat saya untuk terus tingkatkan prestasi dan buktikan kebolehan. Kemudahan fasiliti di JDT turut membantu menjadikan saya lebih baik,” jelas Izham.

Terdahulu pada Sabtu, Izham menerima Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) bagi bulan Mei yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Dia menjadi pemain JDT ketiga berturut-turut untuk memenangi anugerah itu bagi tahun 2016, selepas Jorge Pereyra Diaz (Mac) dan Juan Martin Lucero (April) seterusnya menerima RM1,500 sumbangan MVP Sports Agency dan bingkai gambar sumbangan Asiana.my.

- Advertisement -