PELUMBA Bolton Equities Black Spoke, George Jackson memenangi Peringkat 3 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 – peringkat yang dianggap sukar dari Jeli ke Baling, hari ini.
Dengan empat zon pendakian dianggap sukar bagi seorang pelumba pecut, Jackson yang berkayuh dalam peloton pada awalnya, bijak memanfaatkan ruang yang dibuka rakan sepasukan, Logan Currie untuk mengatasi cabaran pelumba Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Enrico Zanoncello dan Carlos Canal Blanco (Euskaltel-Euskadi) dalam henjutan terakhir, dengan catatan masa 4 jam 14 minit 13 saat.
Ia adalah kemenangan kali keempat buat pelumba 23 tahun dari New Zealand itu musim ini, selepas dua kemenangan peringkat dan jersi kuning keseluruhan di Tour of Taihu Lake, China, seminggu sebelum terbang ke Malaysia untuk menyertai LTdL 2023.
“Saya gembira dengan kemenangan ini selepas gagal dalam dua peringkat sebelumnya. Bagaimanapun, ini satu perlumbaan yang sukar buat seorang pakar pecut kerana jarak yang jauh, cuaca hujan dan ada banyak zon pendakian.
“Terima kasih kepada Bostock yang bekerja keras mengejar kelompok pelumba di depan dan Logan yang memilih yang memilih laluan tepat dari sebelah kiri ketika selekoh terakhir. Saya akan terus memburu kemenangan peringkat lagi selepas ini,” kata Jackson yang turut menarik perhatian dengan gaya rambut panjangnya.
Zanoncello bagaimanapun diumumkan sebagai pendahulu baru untuk menyarung jersi hijau pendahulu tajaan PETRONAS, dengan masa terkumpul 12 jam 55 minit 05 saat, sama masa dengan Jackson.
“Saya gembira dengan jersi pendahulu ini tetapi agak kecewa kerana gagal menang,” kata pelumba berusia 26 tahun itu yang mengumpul 2 kemenangan peringkat di Tour of Taihu Lake dan Tour of Taiwan, setakat musim ini.
Pada Peringkat 1 di Kuala Terengganu, Zanoncello menduduki tempat kelima dan di Kota Bharu semalam, dia menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, pakar pendaki Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud yang terbabit dalam kumpulan pemecah yang membuat breakaway selepas kira-kira 15 km perlumbaan dilepaskan dan menguasai tiga daripada 4 zon pendakian di sepanjang laluan iaitu di Jeli, Puncak Titiwangsa dan Sri Banding juga merampas jersi polka dot Raja Bukit tajaan TOURISM MALAYSIA, dengan 20 mata terkumpul.
Rakan sepasukannya yang juga pemenang Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu semalam, Arvid Kleijn masih menyarung jersi Raja Pecut KBS dengan 27 mata, sama dengan jumlah mata yang dikumpul Zanoncello.
Sementara itu, kem Malaysia yang agak muram selepas gagal melihat kelibat pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Zariff dalam kelompok pemecah di depan, tetap ceria apabila pelumba skuad kebangsaan Malaysia, Muhammad Nur Aiman Rosli tampil di podium untuk menyarung jersi putih BEAUTIFUL TERENGGANU selaku Pelumba Terbaik Asia, selepas menamatkan saingan Peringkat 3 di tangga keenam dan kini berada di tangga ke-15 keseluruhan.
“Saya gembira dan agak bernasib baik hari ini kerana berada dalam kelompok depan yang dapat menangkap kumpulan breakaway itu dan cuba bersaing di henjutan terakhir.
“Saya akan cuba pertahankan jersi putih ini selama mungkin tetapi tugas utama ialah membantu rakan sepasukan lain di peringkat sukar di Genting Highlands nanti,” kataoojai Onli Nur Aiman Rosli yang merampas jersi itu dari pelumba Rne Insurance, Tegshbayar Saibakhan yang tercicir agak jauh selepas mengalami masalah mekanikal pada basikalnya.
Pelumba EF Education-EasyPost, Simon Carr yang berada dalam sekumpulan 10 pelumba di depan dan menguasai zon pecutan keempat di Sungai Rui, terpilih sebagai pemenang anugerah ‘Most Combative Rider’ tajaan BUBBLES O2.
Sejak awal, pelumba yang dilepaskan berhampiran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bergerak aktif dengan empat pelumba termasuk Muhammad Zawawi Azman menguasai zon pecutan pertama di Jeli, sebelum ditangkap kelompok besar.
Apabila menghampiri zon pendakian pertama, barulah kelihatan kelibat pendaki dengan sembilan pelumba – Carr; Pellaud; Paul Double (Human Powered Health); Pablo Castillo Zapater (Kern Pharma); Joan Bru (Euskaltel); Jokin Murguialday (Caja Rural); Adne Van Engelen (Roojai) serta dua pelumba Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Matteo Scalco dan Luca Covilli membuat pemecahan dan menjarakkan diri daripada peloton sehingga suatu ketika berada hampir 3 minit di depan.
Pelumba TSG, Jambaljamts Sainbayar keluar daripada peloton dan dapat menyertai kelompok depan itu di pertengahan jarak untuk menjadikan 10 pelumba berada di depan.
Pellaud tampak cukup bertenaga di tiga zon pendakian di depannya apabila memungut mata maksimum dan menjadi pelumba pilihan menjelang Peringkat 5 Slim River ke Genting Highlands, Rabu ini.
Begitu juga Carr yang tampak bersemangat berada di depan sekumpulan empat pelumba di depan sebelum mereka ditangkap oleh peloton yang diketuai Bolton Equities, Corratec-Selle Italia dan Astana Qazaqstan mengejar dan menangkap kumpulan depan itu kira-kira 8km daripada garisan penamat.
Tempo kayuhan yang agak laju dengan purata kelajuan 2.27kmj juga menyebabkan pelumba terpecah kepada beberapa kumpulan, 56 tiba dalam kumpulan pertama dan 41 dalam kumpulan besar lain kira-kira 30 minit selepas itu.
Tiga pelumba pasukan Giant Cycling yang terbabit dalam kemalangan van pengiring pasukan mereka gagal memulakan perlumbaan manakala empat pelumba pula gagal menamatkan kayuhan dan terkeluar daripada saingan, menjadikan kini hanya 121 pelumba akan bermula esok.
Peringkat 4 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 esok diteruskan dengan kayuhan dari Bukit Mertajam ke Meru Jaya, membabitkan jarak sejauh 140.2km, dengan tiga zon pecutan di Bagan Serai, Talang dan Sungai Siput serta satu zon pendakian mudah kategori 3 di Kuala Kangsar.
Dengan tema ‘Beat The Heat’ PETRONAS LTdL 2023 sejauh 1,278.1km yang berstatus ProSeries tahun ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).