Kejayaan memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu, tidak dinafikan telah banyak merubah persepsi ramai mengenai wibawa dan kredibiliti pasukan futsal negara.
Meskipun gagal dalam misi mencipta kejutan memenangi emas setelah tewas tipis kepada Thailand, prestasi meyakinkan ditunjukkan skuad dibimbing Chiew Chun Yong itu untuk kembali mengenggam pingat perak selepas 10 tahun mendapat kredit daripada penggiat dan pengemar futsal tanah air.
Futsal yang selalunya lebih dianggap sebagai sukan riadah paling popular kembali mendapat pengiktirafan dan publisiti media sebagai sukan tumpuan yang perlu diangkat martabatnya ke tahap lebih tinggi dek kejayaan tersebut.
Rata-rata mengakui ini adalah skuad terbaik pernah dikumpulkan sejak sekian lama berikutan konsistensi ditunjukkan sepanjang tahun ini termasuklah dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa yang turut menyaksikan Malaysia berjaya memperbaiki ranking dengan berada di tangga ke-57 dunia – kedudukan terbaik dalam sejarah skuad futsal negara.
Justeru mereka boleh dimaafkan jika mula meletakkan harapan dan mengimpikan kejayaan yang lebih besar susulan kemuncak pencapaian di KL 2017 dengan melabel betapa skuad negara sudah bersedia untuk keluar dari bayangan Thailand dan menawan rantau Asia Tenggara.
Sasaran paling terdekat sudah tentunya di Kejuaraan Futsal AFF 2017 yang sedang berlangsung kini di Vietnam di mana Malaysia sudahpun mengesahkan tempat di separuh akhir sekaligus layak beraksi di Kejuaraan Futsal Asia di Taiwan tahun hadapan.
Sememangnya diakui kita sudah berjaya mengecilkan jurang perbezaan dengan negara kuasa besar seperti Thailand dan Vietnam, itu adalah satu suntikan keyakinan yang besar buat futsal Malaysia untuk terus mengorak langkah.
Namun realitinya kita masih ketinggalan dan masih banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan, kita perlu terus belajar, bekerja keras dan lebih pendedahan diperlukan jika berhasrat mahu meneruskan momentum yang tercipta sekaligus mampu berdiri sama tinggi dengan negara kuasa besar futsal Asia yang lain seterusnya berada di kelompok 50 terbaik dunia sepertimana disasarkan Chun Yong.
Penyertaan di pertandingan antarabangsa ataupun perlawanan berkelas A perlu diperbanyakkan, sepertimana dilakukan oleh negara-negara seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, Iran dan Jepun bagi meningkatkan kualiti futsal mereka.
Selain itu, pemain-pemain juga boleh dihantar menimba ilmu, mencari pengalaman dan mengasah kemahiran mereka melalui program penempatan pemain di sekitar negara Asia mahupun negara Eropah seperti Sepanyol dan Itali menerusi hubungan baik yang terjalin bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dalam masa sama, penganjuran Liga Futsal Kebangsaan (LFK) perlu lebih serius dan sistematik, bukannya ‘asalkan ada’.
LFK juga tidak menyediakan platform saingan yang kompetitif kerana hanya melibatkan 10 pasukan semusim dan berlangsung cuma tiga bulan, manakala pasukan yang gagal di pusingan kelayakan yang berlangsung selama tiga hari perlu menunggu setahun untuk mencuba nasib sekali lagi.
Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM diketuai Datuk Rosmadi Ismail perlu melihat kepada semua perkara-perkara ini dan mengusahakan satu transformasi mantap. Pencapaian di KL 2017 tidak harus dipandang sepi oleh FAM dan ia seharusnya menjadi penanda aras dan satu titik permulaan kebangkitan pasukan futsal negara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN