Oleh Muhammad Aiman
Tiada harapan tinggi boleh diletakkan ke atas atlet olahraga negara di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016, tetapi ia bukan alasan untuk dua atlet – Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Zaidatul Husniah Zulkifli (100m) untuk mengalah mahupun pergi ke sana sekadar untuk melengkapkan saingan.
Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga bekas ratu pecut Asia Tenggara, Dato’ Mumtaz Jaffar berkata, “Memang untuk kita harapkan kejutan dari mereka adalah tidak realistik. Beraksi di olimpik, layak ke separuh akhir dikira sebagai satu pencapaian besar, apatah lagi kalau boleh pergi ke final.
“Daripada kita memberi tekanan kepada mereka, saya lebih suka untuk katakan bahawa Rio adalah platform pendedahan serta pengalaman terbaik bagi mereka sebelum beraksi di Sukan Sea tahun depan. Sasaran paling realistik adalah melihat mereka berdua perbaiki rekod peribadi atau kebangsaan.
“Sebagai contoh, Nauraj layak ke olimpik dengan pecahkan rekod kebangsaan, jadi apabila berada di Rio, dia perlu tetapkan sasaran mahu buat lebih baik dari rekod dia sekarang. Jika dia melakukan lebih rendah dari itu, itu menunjukkan bahawa prestasinya tiada peningkatan.
“Begitu juga Zaidatul, dia perlu buktikan pemilihannya adalah keputusan tepat, tidak perlu letak sasaran bukan-bukan dan menekan diri sendiri, kalau dia boleh perbaiki catatan masa peribadi sudah cukup bagus. Jadi sekurang-kurangnya mereka ada satu pencapaian untuk dibawa balik dari Rio, bukan sekadar pergi bertanding kosong.”
Untuk rekod, Nauraj yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea Singapura 2015 layak secara merit ke temasya sukan terbesar dunia itu selepas memecahkan rekod kebangsaan sekaligus menyamai had kelayakan olimpik 2.29m dalam laluan meraih emas di Kejohanan Terbuka Singapura pada April lalu.
Manakala Zaidatul pula menjadi pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk disenaraikan menerusi slot wildcard, setelah menunjukkan prestasi meningkat naik dan konsisten sepanjang tahun ini.
Ini termasuk ketika beraksi di Kejohanan Memorial Kosanov XXVI di Almaty, Kazakhstan bulan lalu yang mana atlet berasal dari Pulau Pinang itu melakar catatan masa terbaik peribadinya bagi tahun ini iaitu 11.67s di peringkat saringan acara 100m wanita.
Dalam perkembangan lain, Mumtaz yang merupakan pemenang pingat tiga pingat emas di Sukan Sea Manila 1981 (100m, 400m, 4x400m) turut meluahkan rasa gembiranya melihat arena olahraga tanah air yang kembali menyinar setelah melalui zaman suram buat sekian lama.
“Matlamat kita ketika ini adalah kembali mengungguli arena olahraga Asia Tenggara, saya lihat pencapaian atlet-atlet olahraga muda cukup mengagumkan sejak kebelakangan ini. Saya percaya kita berada di landasan tepat untuk kembali mencabar negara seperti Thailand dan Vietnam, lepas itu baru kita boleh tengok skop lebih luas.
“Atlet-atlet seperti Khairul Hafiz (Jantan), Badrul Hisyam (Manap), Hakimi (Ismail), Irfan (Samsudin), Nauraj serta ramai lagi menunjukkan mereka ada kualiti setanding atlet-atlet kuasa besar Asia. Tidak mustahil dengan disiplin dan mentaliti atlet yang baik, pengurusan dan kejurulatihan yang efisyen, kita boleh mencapai hasrat melihat olahraga kembali ke era gemilang seperti masa dahulu.”
Antara pencapaian lain bekas atlet kelahiran Negeri Sembilan itu adalah memecahkan rekod kebangsaan acara 200m dan rekod Asia bagi acara 4x400m – kedua-duanya di Sukan Sea Manila 1981 – manakala selepas bersara sebagai atlet beliau pernah menjadi jurulatih pecut kebangsaan, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, Naib Presiden KOM dan ketika ini masih lagi bertindak sebagai Pengerusi Koperasi Atlet Malaysia Berhad.