Oleh Muhammad Aiman
Jadual padat Liga Malaysia yang memerlukan pasukan beraksi setiap tiga hari disifatkan pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan sebagai punca utama kemerosotan prestasi pasukannya yang gagal mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan terakhir.
Zainal mengakui selain melakukan kesilapan mudah, aksi lesu pemainnya ketika kekalahan 1-2 kepada Felda United turut didorong faktor keletihan gara-gara beraksi lima perlawanan dalam tempoh 15 hari setelah saingan Liga M membabitkan Liga Super dan Piala Malaysia kembali bersambung pada 12 Julai lalu.
“Kita terus melakukan kesilapan yang sama, membazir deretan peluang menjaringkan gol. Saya tidak gembira dengan keputusan ini, kita tidak sepatutnya tewas di gelanggang sendiri. Kesilapan kita dihukum oleh lawan yang menjaringkan dua gol mudah.
“Saya akui pemain juga penat bermain setiap tiga hari sehingga menyebabkan mereka hilang tumpuan, mental mereka sedikit terganggu. Tetapi mereka tetap cuba mencipta peluang dan melakukan sesuatu tapi sayang mereka tidak memanfaatkannya. Saya harap ini akan menjadi pengajaran buat pemain,” ujar Zainal.
Kekalahan kepada Felda di Stadium Shah Alam pada Selasa lalu, bukan sahaja menyaksikan Red Giants ketinggalan jauh 11 mata di belakang pasukan bimbingan Irfan Bakti itu, tetapi dalam masa sama menutup terus peluang mereka untuk mengejar kejuaraan liga yang kali terakhir dijulang pada 2010.
Dalam aksi sebelum ini, Selangor sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Pulau Pinang manakala dalam aksi Piala Malaysia minggu lalu, mereka turut melepaskan kelebihan dua gol untuk sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 menentang Kelantan.
Apa yang mungkin sedikit melegakan Zainal adalah pasukannya dilihat tidak tercabar setidak-tidaknya buat masa ini di kedudukan ketiga liga, memiliki kelebihan tujuh mata ke atas pasukan tangga keempat Kedah, dan sembilan mata mengatasi pasukan tangga kelima Kelantan. Â
Aksi Red Giants yang seterusnya adalah menentang Pahang dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat, 29 Julai dan Zainal menegaskan banyak lagi perlu dilakukan terutamanya untuk menajamkan sentuhan penyudah.