Majlis Sukan Negara (MSN) dan 100PLUS, minuman isotonik nombor satu di Malaysia, bersetuju menyambung jalinan kerjasama untuk tempoh lima tahun lagi. Kontrak usahasama berkenaan bermula tahun ini sehingga 2024.
Menerusi penajaan besar berbentuk tunai dan barangan itu, 100PLUS akan dinamakan sebagai Penaja Isotonik Rasmi MSN yang eksklusif.
Di bawah penajaan berkenaan, atlet yang bernaung di bawah MSN akan menerima manfaat menerusi minuman 100PLUS.
“Atlet negara kita sememangnya amat komited dan gigih menjalani latihan untuk tempoh masa yang panjang bagi meningkatkan kemampuan dan tahap mereka. Semasa pertandingan, atlet berusaha sehabis mungkin untuk memburu kejayaan. 100PLUS merupakan minuman isotonik paling sesuai untuk membantu mereka menghidrasi dan memulih semula tahap kecergasan mereka,” kata Engku Isyamuddin Tuan Losin, Pengurus Penajaan dan Pengaktifan F&N selepas majlis penyampaian penajaan kepada Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican hari ini.
Beliau juga menekankan kepentingan program remaja MSN untuk pembangunan dan perkembangan jangka panjang atlet kebangsaan. “100PLUS sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha pembangunan terutamanya di peringkat akar umbi dan juga atlet kebangsaan menerusi kerjasama MSN dan KBS.
“MSN telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan atlet bertaraf dunia dan antarabangsa dan sehubungan itu, kami memutuskan untuk terus menyokong usaha MSN. Kami berharap usahasama ini akan diteruskan untuk tahun-tahun mendatang.”
Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi berkata adalah penting bagi syarikat-syarikat memberikan sokongan untuk meningkatkan lagi usaha-uasaha pembangunan MSN. “Di MSN, kami berusaha untuk menarik syarikat-syarikat untuk menyertai kami, bukan hanya kerana kami perlukan penajaan mereka, tetapi lebih penting ialah kami memerlukan sokongan dan untuk mereka turut terbabit dalam usaha kami.”
Shapawi melahirkan penghargaan kepada 100PLUS kerana terus setia menyokong MSN sejak beberapa tahun lepas. “100PLUS merupakan rakan lama dan juga rakan usahasama kami. Mustahil bagi kami untuk tidak bersama 100PLUS. Jadi, kami memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan 100PLUS dengan beberapa perubahan dan pembaikan dalam pakej penajaan.”
100PLUS, yang merupakan rakan penaja MSN sejak tahun 2000, sudah sinonim sebagai penyokong kuat sukan di Malaysia. Pada masa ini, 100PLUS merupakan penaja kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 100PLUS juga merupakan minuman Isotonik Rasmi Liga Bolasepak Malaysia dan Liga Kementerian Pendidikan (Liga KPM).
Selain itu, 100PLUS juga menyokong atlet-atlet ternama negara termasuk Datuk Wira Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei yang mana kesemua mereka merupakan Duta Jenama 100PLUS buat masa ini.