Perenang paralimpik negara, Jamery Siga masih menanggung rasa sakit di bahagian belakang namun itu tidak menjadi penghalang buatnya memasang tekad mempertahankan dua pingat emas di temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung 17-23 September depan.

Menurut Jamery, “Sebelum ini saya alami kecederaan bahu tetapi sudah beransur pulih, sekarang saya masih menjalani pemulihan bagi bahagian belakang bersama fisio ISN (Institut Sukan Negara).

“Kecederaan ini saya alami ketika menyertai Terbuka Portugal pada Jun lalu, sekarang di tahap lebih kurang 60 peratus. Memang rasa sakit ketika berlatih, apapun saya percaya dalam tempoh masa yang berbaki saya mampu pulih sepenuhnya.

“Saya cukup bersemangat mahu beraksi di tempat sendiri. Saya tidak mahu lepaskan peluang ini dan bersedia ketepikan rasa sakit asalkan boleh mempertahankan emas dan menyumbang kepada negara.”

Di temasya Para ASEAN 2015 di Singapura, atlet kelahiran Sarawak itu yang beraksi dalam kategori S5 (celebral palsy) memenangi dua emas menerusi acara 200 meter gaya bebas dan 50m kuak kupu-kupu. Selain itu, dia turut menyumbang dua pingat perak menerusi acara 50m dan 100m gaya bebas.

Ini akan menjadi penampilan Para ASEAN ketiga buat Jamery selepas membuat penampilan sulung di Myanmar 2013.    

Dalam pada itu, pengurus pasukan renang paralimpik Loke Chee Heng berkata skuad renang negara akan cuba menterjemahkan prestasi terbaik bagi memperbaiki pencapaian tujuh emas di Singapura dua tahun lalu.

“Kita akan ambil bahagian dalam 54 daripada 84 acara. Kita tidak janji berapa emas, ia sukar dijangka memandangkan atlet dari Thailand, Singapura dan Indonesia semua menunjukkan peningkatan tetapi kita yakin dapat atasi pencapaian lalu. Mungkin lapan, sembilan atau sepuluh emas, kita akan cuba menangi sebanyak mungkin,” ujar Chee Heng.

Renang di Para ASEAN KL 2017 akan berlangsung di Pusat Akuatik Bukit Jalil selama lima hari dari 18 – 22 September. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -