Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali bergelar pendahulu Liga Premier dengan perbezaan satu mata mengatasi Terengganu FC II selepas meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam.
Jaringan Alain Akono pada minit-11 dan dan Zaquan Adha, pada minit-55 membantu Negeri Sembilan meraih kemenangan berharga di laman lawan biarpun Skuad Projek FAM-MSN berjaya merapatkan jurang melalui Azhad Harraz Arman pada minit-67 namun itu tidak menghalang pelawat untuk membawa pulang tiga mata penuh.
Biarpun begitu, pengendali NSFC, K. Devan masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi ditampilkan pemain di bahagian serangan yang disifatkannya sedikit tumpul dalam menyudahkan peluang yang terhidang.
Malah Devan akui prestasi Skuad Projek FAM-MSN begitu baik di separuh masa kedua yang hampir menghukum NSFC dan beliau akan cuba perbaiki kelemahan bagi hadapi perlawanan akan datang.
“ Perlawanan hari ini kita dapat mendapat tiga mata cuma di separuh masa pertama, kami menguasai sebahagian besar serta menghasilkan banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“ Namun, kita hanya jaringkan satu gol sahaja menerusi sepakan penalti dan saya rasa banyak peluang kita sia-siakan di babak pertama.
“ Di babak kedua, kita berjaya mendapatkan gol kedua melalui ketua pasukan, Zaquan Adha dan selepas itu rentak kita mula dilihat kurang baik sehingga kita membuat kesilapan yang buka ruang kepada pihak lawan menjaringkan gol.
“ Saya nampak dalam 20 minit terakhir dalam kalangan pemain dan saya tidak berpuas hati dengan prestasi penyerang kita kerana banyak peluang mereka tidak gunakan, jadi kita akan memperbaiki kelemahan untuk perlawanan akan datang, ” katanya.
Biarpun berjaya memintas Terengganu FC II namun skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu mempunyai kelebihan satu perlawanan ke atas NSFC serta berpeluang bergelar pendahulu pada jika mampu menang berdepan PDRM pada Ahad ini.
Dalam satu lagi perlawanan Liga Premier yang berlangsung pada Rabu, Selangor 2 bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Kelantan United, 2-2 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.
Zafuan Azeman dan Alfusainey Gassama meletakkan tuan rumah di hadapan melalui jaringan pada-33 dan 54 sebelum Alexander Ameyaw serta T. Saravanan meledak dua gol penting pada minit-70 serta-87 untuk memastikan Selangor 2 membawa pulang satu mata.
Ketua jurulatih Selangor 2, Michael Feichtenbeiner, memuji semangat juang pemainnya yang tidak cepat patah semangat biarpun berdepan pasukan yang terdiri daripada ramai pemain berpengalaman.
“ Saya beritahu kepada pemain yang saya begitu gembira dengan mereka kerana bukan mudah untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol tambahan bermain di bawah cuaca yang panas sebegini serta lawan yang beraksi dengan baik sepanjang permainan.
“ Pemain-pemain muda dalam skuad ini nampaknya berjaya menangani tekanan serta menunjukkan mentaliti untuk menang kerana mereka bukan sahaja sering kali bertahan namun turut menyerang dalam masa sama bagi mendapatkan gol, ini sikap yang terpuji,” katanya.
Sementara itu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) tidak berdepan banyak masalah menumpaskan Perak FC II di Stadium Perak dengan Irfan Fazail serta Daryl Sham masing-masing menjadi penyumbang jaringan di babak kedua bagi kemenangan 2-0.