Pengerusi Malaysian Football League (MFL), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengingatkan kepada semua pasukan bahawa usaha menarik penyokong hadir ke stadium bukanlah terletak di bahu badan pentadbir liga itu atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semata-mata.
Sebaliknya Tunku Ismail menegaskan pasukan dan kelab yang bertanding di Liga Malaysia seharusnya memainkan peranan utama dalam usaha menarik minat penyokong untuk terus hadir ke stadium.
Titah Tunku Ismail, baginda menggesa semua pasukan harus lebih bijak mencari pendekatan untuk merapatkan diri bersama penyokong dalam usaha membina hubungan lebih kuat dengan penyokong.
“(Menarik penyokong ke stadium adalah tugas) pasukan masing-masing. Hubungan antara kelab dan penyokong bukan tanggungjawab MFL atau FAM.
“Itu adalah tanggungjawab pasukan bertanding dan bagaimana cara anda berhubung untuk membuatkan penyokong anda terasa mereka juga terlibat dalam projek tersebut,” titah baginda dalam sidang akhbar selepas pelancaran Rangka Tindakan Strategik 50-Tahun MFL atau Next50 2021-2070 di Iskandar Malaysia Studios.
Next50 MFL menampilkan empat misi bermula misi pertama dengan memberi tumpuan kepada kualiti sukan bola sepak di Liga Super dan Liga Premier disusuli Misi kedua memberikan tumpuan kepada unsur modal insan MFL serta semua kelab Liga Super dan Liga Premier.
Manakala Misi ketiga adalah memberikan tumpuan kepada peminat serta komuniti Malaysia secara keseluruhannya disusuli Misi keempat memberikan tumpuan kepada aspek komersial MFL.
Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail mengharapkan kelab-kelab akan lebih berdikari dalam usaha mencari pendapatan dengan mengintai penaja-penaja selain mengharapkan kehadiran penyokong-penyokong ke stadium semata-mata.
Lebih tepat, baginda mahu melihat pasukan-pasukan Liga Malaysia tidak perlu bergantung lagi kepada kerajaan negeri bagi meneruskan kestabilan kelab itu sendiri.
“Ada beberapa keperluan yang perlu kita patuhi daripada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia). Jadi saya rasa itu terpulang pengurusan kelab masing-masing bagaimana mahu menangani situasi berkenaan.
“Mereka seharusnya diswastakan dan bukan lagi mengharapkan (bantuan) daripada kerajaan kerana duit kerajaan itu adalah duit rakyat,” titah baginda.