PFAM ingin mengingatkan kepada pasukan-pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji, untuk mengambil serius soal pembayaran hutang kepada para pemain.
Menerusi kenyataan media hari ini, PFAM melihat, pasukan-pasukan yang berhutang masih lagi tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain, namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain-pemain baru termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan.
Perkara ini merupakan suatu perkara yang amat memalukan dan sangat dikesali, terutamanya bila mengenangkan para pemain yang semakin terhimpit dengan hutang dan keterdesakan hidup akibat hilang punca pendapatan.
PFAM juga ingin menggesa pihak FAM untuk segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib, yang difahamkan, telah bermesyuarat pada 6 Disember 2018.
Kelewatan keputusan ini, akan memberi kesan besar kepada para pemain, apabila pasukan terus ‘terlepas’ dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baharu bermula.
Kredibiliti FAM selaku badan yang menaungi urusan bolasepak di Malaysia amat ditagih dalam situasi ini.
PFAM juga ingin mengulas kenyataan PFA yang menyatakan bahawa isu tunggakan gaji telah selesai. Untuk makluman, PFA masih tidak memberikan apa-apa status terkini berhubung tunggakan gaji tahun 2016 dan 2017.
Selain itu, tunggakan gaji tahun 2018 akan dibayar secara beransur-ansur, dan selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap telah selesai. PFAM menggesa agar PFA benar-benar serius dalam isu hutang ini disebalik keghairahan menandatangani nama-nama besar bagi saingan musim hadapan.
Tidak mustahil, jika PFA terus menerus mengabaikan tanggungjawab ini, pemain-pemain baharu akan menjadi mangsa seterusnya.