Penjaga gol skuad B-22 kebangsaan Ifwat Akmal Chek Kassim berpendapat diundi dalam satu kumpulan bersama tiga negara Timur Tengah yang jauh lebih kuat di Kejuaraan AFC B-23 bulan depan bukan alasan untuk cabaran pasukan negara dipandang sebelah mata.
Malaysia bimbingan Dato’ Ong Kim Swee mara secara merit buat kali pertama ke pusingan akhir yang akan berlangsung di China setelah menjuarai pusingan kelayakan di Bangkok pada Julai, dan sebagai ‘hadiah’ mereka menerima undian sukar berada sekumpulan dengan Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam Kumpulan C.
Penjaga gol Kedah itu menegaskan dia dan rakan sepasukan akan menampilkan prestasi terbaik dalam usaha mencipta kejutan dan melangkah jauh sekaligus menutup mulut pengkritik yang mempersendakan kemampuan mereka.
“Ramai yang tidak meletakkan harapan tinggi terhadap pasukan ini kerana berada dalam satu kumpulan yang sukar. Pada tanggapan mereka, kita akan balik awal, tidak boleh lepas peringkat kumpulan. Bagi saya, selagi belum turun berperang, jangan sesekali anggap kita dah tewas.
“Kami telah melalui fasa latihan intensif dan selepas ini akan mengharungi lagi latihan di Korea dan China. Jurulatih tentunya mempunyai perancangan untuk memperkemaskan lagi pasukan sekaligus membantu kami menjadi lebih baik. Kami akan cuba berada pada prestasi terbaik dalam setiap perlawanan, dan menepis tanggapan negatif terhadap pasukan ini,” kata Ifwat.
Selain Ifwat, dua lagi penjaga gol dalam skuad ini adalah penjaga gol Johor Darul Takzim, Haziq Nadzli dan penjaga gol Negeri Sembilan yang baru kembali dari kecederaan, Ahmad Syihan Hazmi.
Skuad negara seramai 26 pemain termasuk lima pemain B-19 terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada Sabtu untuk menjalani latihan pusat selama dua minggu di sana sehingga 30 Disember – dalam tempoh itu mereka akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang Mokpo City (20 Disember), Jeonju University (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).
Kim Swee kemudiannya akan menggugurkan tiga lagi pemain dan membawa skuad akhir seramai 23 pemain ke Nanjing, China untuk satu lagi aksi persahabatan.
Skuad negara dijadual tiba di Jiangsu pada 6 Januari manakala aksi pembuka tirai Kumpulan C adalah menentang Iraq pada 10 Januari, disusuli Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari). – OLEH MUHAMMAD AIMAN