Ketua jurulatih Kelantan FA, Yusri Che Lah menuntut anak buahnya untuk terus berjuang mengharungi Liga Malaysia yang dijangka bersambung pada September ini meskipun mereka dihimpit pelbagai masalah.
Beliau jelas memahami situasi sedang dihadapi oleh pihak pengurusan khususnya daripada aspek kewangan sekali gus memberi tekanan cukup hebat untuk meneruskan saingan musim ini andai pihak kerajaan membenarkan Liga Malaysia 2020 disambung semula selepas ditangguhkan pada 16 Mac lalu akibat wabak COVID-19.
Bekas pengendali Kuala Lumpur ini menyifatkan perjuangan harus diteruskan dan menggesa semua pemain untuk tidak berputus asa serta mengharapkan agar penyokong setia Kelantan FA juga akan terus berada di belakang pasukan.
“Saya harap sesuatu yang baik akan menanti KAFA dan sentiasa berdoa akan ada jalan untuk mereka mengharungi setiap masalah yang ada ketika ini.
“Macam-macam mana pun, tugas saya sebagai jurulatih tetap berjalan dan harap pemain juga tidak hilang semangat untuk terus berjuang walau apa jua cabaran dan rintangan yang berlaku.
“Memang situasi sekarang bukan Kelantan sahaja yang berdepan masalah, malah pasukan lain juga turut terkesan lebih-lebih lagi dengan wabak Covid-19 ini, cuma masing-masing kena hadapi juga dan sekiranya kerajaan meluluskan saingan diteruskan, kami tetap akan melakukan yang terbaik untuk pasukan.
“Buat pengurusan, semoga semuanya akan kembali pulih untuk KAFA tidak berputus asa cari jalan terbaik menyelesaikan apa pun kemelut yang berlaku demi pasukan Kelantan,” katanya.
Tambah Yusri, bukan mudah baginya selaku jurulatih untuk membimbing sebuah pasukan yang pada ketika dahulu cukup gah di mata peminat dan kini berdepan pelbagai cabaran untuk mereka kembali berada di atas.
Namn, semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus membimbing pasukan dan memastikan agar setiap pemain tahu apa yang perlu dilakukan selain berharap beliau mampu untuk mengubah persepsi negatif terhadap skuad ini.
“Memang bukan senang untuk kita ubah persepsi itu dalam sekelip mata, tetapi sekarang tugas kita semua untuk cuba sedaya upaya menaikkan nama pasukan.
“Pemain-pemain yang ada ketika ini, saya percaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk memberikan yang terbaik dan sekarang saya hanya pastikan mereka semua tidak lupa untuk sentiasa memanaskan badan di rumah.
“Saya sekarang berada di Perlis, tetap memantau perkembangan pemain dari masa ke semasa dan sekarang kita tunggu sahajalah apa keputusan yang terbaik untuk Liga Malaysia”, tambahnya.
Pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebelum ini menyuarakan komitmen untuk pasukan Liga Premier itu meneruskan saingan sekiranya liga kembali bersambung pada September ini.