Pengendali Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim tidak mahu hak pasukannya untuk beraksi dalam saingan Liga Super ‘dirampas’.
Sejak beberapa hari spekulasi bertiup kencang mengatakan pasukan itu akan ‘ditolak’ bermain dalam saingan Liga Premier musim depan berikutan ada perbincangan untuk menjadikan mereka sebagai ‘reserve team’ kepada pasukan Liga Super Perak.
Menurut Abu Bakar, dia mengakui sememangnya perkara itu pernah dibangkitkan malah Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu juga katanya pernah memberi bayangan mahu melihat semula dan memperhalusi peranan serta kemampuan pasukan itu bertahan berdasarkan bajet.
“Saya selalu katakan kita adalah sebuah pasukan kecil dengan bajet kecil, tetapi mempunyai pemain berjiwa besar. PKNP pasukan yang menapak dari bawah, dari Liga FAM ke Premier dan telah ketengahkan anak-anak muda Perak berkualiti tinggi sehingga ada yang terpilih bermain di kelab luar negara (Shahrel Fikri).
“Saya secara peribadi merasakan setelah apa yang pemain berikan untuk kekal di Liga Super, tidak wajar pasukan ini dijadikan ‘reserve team’ dan anak-anak yang cemerlang mempunyai kualiti Liga Super ini bermain di Liga Premier.
“Liga Super adalah idaman semua pasukan, kita telah lihat bagaimana Negeri Sembilan dan Kelantan begitu mahukan slot ini. Pasukan lain berebut mahukan slot ini tapi takkan kita nak biarkan tempat kita itu dirampas?” katanya.
Untuk rekod, tahun lalu T-Team (kini Terengganu FC II) ditolak bermain di Liga Premier walaupun mereka layak untuk bermain di Liga Super kerana mereka dijadikan ‘reserve team’ kepada Terengganu FC.
Selain Terengganu FC, sebuah lagi pasukan Liga Malaysia yang mempunyai ‘reserve team’ adalah Johor Darul Takzim.
PKNP FC berjaya kekal dalam saingan Liga Super musim depan apabila mengesahkan tempat mereka di kedudukan 10 teratas dengan masih ada dua perlawanan untuk diharungi. Mereka menduduki tangga ketujuh dengan mengumpul 22 mata. MUHD AIMAN