Arena bolasepak Selangor bagai dilanda ribut baru-baru ini berikutan tindakan segelintir ahli gabungan yang mendesak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) dalam tempoh terdekat.
Bagi tiga bekas pemain Selangor iaitu Malek Rahman, Khalid Ali dan Asmawi Bakiri tindakan tersebut tidak berfaedah dan membuang masa malah boleh merencatkan revolusi yang cuba dibawa Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut Malek yang menyarung jersi Merah Kuning dari 1989-1994, RMS sudah diberi mandat sebagai presiden dan baginda perlu diberi kebebasan untuk mentadbir FAS sepertimana dimahukan dan masa untuk membawa perubahan.
âPerpecahan tidak akan membawa kita ke mana-mana, semua perlu bersatu memberikan sokongan. RMS bukan orang baru dalam bolasepak, baginda sudah lama terlibat di dalam memperkasakan bolasepak akar umbi dan komuniti. Jadi sudah tentu baginda tahu apa yang dilakukan.
âIanya kelakar kalau ahli gabungan yang mendesak EGM ini kata mereka sokong RMS sebagai Presiden, tetapi tidak bersetuju dengan keputusan atau pelantikan yang baginda buat.
âMereka kata RMS boleh bawa satu pembaharuan dan perubahan tetapi seolah-olah tidak percaya atau tidak yakin dengan keputusan RMS, apa sebenarnya cuba mereka katakan?
âLagipun sudah terang dinyatakan isu yang mereka bawa itu pun tidak berasas jadi apa yang mereka ini tak puas hati? Bagi saya tidak perlulah membuang masa dengan benda-benda merepek, beri RMS masa untuk perbetulkan apa yang pincang selama ini. Kita nak tengok bola Selangor kembali gemilang,â ujar Malek.
Khalid yang menyarung jersi Selangor pada era 1970-an pula melabel mereka yang mahukan EGM pada ketika baru beberapa bulan kepimpinan bertukar tangan sebagai perosak sebenar bolasepak negeri itu.
âSaya sebenarnya betul-betul geram dengan kumpulan yang mahukan EGM ini. Selangor pernah jadi juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, tapi kini saya lihat taraf pasukan itu sudah macam budak sekolah. Apa sumbangan mereka selama ini?
âJadi, nasihat saya tak payahlah nak buat kecoh-kecoh. Kalau tidak mahu menyokong atau membantu sekalipun, jangan pula hendak jadi perosak.
âBiarlah Raja Muda buat kerjanya, malah saya percaya siapapun yang baginda lantik sudah tentu kerana baginda yakin dengan kemampuan orang itu untuk bekerjasama menaikkan semula martabat bola sepak Selangor. Cuba bayangkan jika Raja Muda menarik diri sebagai presiden, adakah mereka mampu menyelesaikan masalah kewangan FAS dan menaikkan semula pasukan Selangor?â ujar Khalid.
Sementara Asmawi pula menyarankan kedua-dua pihak agar menyelesaikan kemelut ini di belakang tabir dengan duduk semeja, bukannya menimbulkan kekecohan kerana agenda tertentu dan perebutan kuasa.
âIni tindakan yang merugikan, ia akan menyukarkan dan memperlekehkan perancangan RMS untuk bolasepak Selangor pada 2019. Lebih baik pihak yang mahukan EGM ini fikir apa yang boleh mereka bantu, selesaikan perkara ini lebih awal sebelum ia menjadi teruk.
âBagi saya kemelut FAS ini bukan sesuatu yang baru, ianya tidak pernah selesai dan setiap kali ada pengurusan baru, sentiasa ada pihak yang tidak berpuas hati,â kata Asmawi.
Laporan Sports247 sebelum ini mendedahkan bahawa 67 daripada 96 ahli gabungan persatuan itu menghantar menandatangani dan menghantar memorandum agar EGM diadakan kepada Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon kerana mendakwa pelantikan Johan dan Mohd Izhar Moslim sebagai naib presiden FAS dibuat tidak mengikut perlembagaan.
Presiden Kelab Bolasepak Frenz United Roslin Shariff yang bertindak sebagai jurucakap turut mendakwa hak, peranan dan kepentingan ahli gabungan diketepikan termasuklah menerusi pemecatan 55 wakil ahli gabungan dari menganggotai Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab munasabah tetapi FAS sudahpun menyangkal semua dakwaan itu melalui kenyataan rasmi.
Malah RMS sendiri murka dengan tindakan itu dan menjelaskan bahawa ada pihak tidak senang duduk dengan perubahan yang sedang rancak dibuat sejak tiga bulan lalu termasuklah peluang melakukan ketirisan, merombak jawatankuasa kecil yang tidak efektif dan menyoal perkara-perkara yang menimbulkan keraguan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN