Bekas pelumba trek negara, Rizal Tisin mengharapkan pengalaman yang ada pada ratu trek negara, Fatehah Mustapa yang telah mengumumkan persaraannya sebagai atlet berbasikal trek negara.
Bagi Rizal, pengalaman yang ada pada Fatehah selepas berkayuh hampir dua dekad dalam arena berbasikal trek cukup bernilai kerana ia bukan mudah untuk dikecapi.
Justeru, Fatehah disarankan menceburi bidang kejurulatihan jika sudah bersedia dan mempunyai minat yang tinggi untuk beralih ke bidang ini.
“Kalau dia (Fatehah) minat, untuk layak sebagai jurulatih perlu sekurang kurangnya memiliki sijil kejurulatihan dan Sains Sukan Tahap 1. Dia boleh tingkatkan ke tahap ke 2 dan tahap 3.
“Pengalaman sebagai atlet dan menjadi jurulatih selepas bersara sangat berguna kerana ia tidak boleh diajar, tetapi perlu dilalui sendiri,”kata Rizal.
Fatehah Mustapa yang ‘menyepikan diri sejak pertengahan Ogos tahun lalu memutuskan untuk mengundurkan diri sekaligus mengumumkan persaraan sebagai pelumba trek negara.
Tambah Rizal Tisin yang pernah meraih gangsa dalam acara 1km ujian masa ketika di Kejuaraan Dunia di Poland pada 2009, segalanya terserah kepada Fatehah dan jika dia berminat, bermula dari peringkat pembangunan akan memberinya pengalaman sebagai permulaan.
“Sebaik baiknya adalah bermula dari bawah, fahamkan konsep dan cuba meningkatkan kemahiran perlahan lahan. Cabaran sentiasa ada dalam bidang kejurulatihan ini. Terserah kepada pilihan yang bakal dibuat,”katanya lagi.
Insitut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia untuk membantu Fatehah daripada pelbagai aspek terutama ketika fasa peralihan sebagai bekas atlet.
Rizal Tisin kini bersama Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF) selepas dilamar untuk mengendalikan skuad berbasikal trek negara itu pada Ogos 2018.