Biarpun bermula sederhana dengan meraih tiga mata pada dua perlawanan lalu dalam Kumpulan C, penyerang Negeri Sembilan FC, Francis Kone, tidak mahu ramai memperlekehkan cabaran mereka dalam pentas TM Piala Malaysia.
Di atas kertas, banyak pemerhati menjangkakan Melaka United FC dan Kedah Darul Aman FC akan mara dari kumpulan itu untuk ke suku akhir tetapi Kone menganggap itu sebagai satu kelebihan buat mereka kerana tidak diberikan sebarang tekanan.
Menurut penyerang dari Togo ini, Negeri Sembilan sudah tidak lagi berada dalam fasa berbulan madu selepas meraikan kejayaan menjuarai Liga Premier musim ini dan akan cuba sedaya upaya mencipta kejutan di pentas TM Piala Malaysia.
“Pentas Piala Malaysia sangat berbeza buat kami kerana kebanyakan pasukan terdiri dari ramai pemain berpengalaman dan serta berkualiti tinggi.
“Kami sudah tidak boleh fikirkan lagi kejayaan menjuarai Liga Premier kerana cabaran di TM Piala Malaysia sangat hebat dan pasukan perlu berusaha keras jika mahu mencipta kejutan.
“Saya tahu Negeri Sembilan ada sejarah tersendiri dalam Piala Malaysia kerana pernah memenanginya pada 2009 dan 2011, berdasarkan apa yang pernah diperkatakan jurulatih (K. Devan).
“Sebagai pemain, saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak pasti kepada peminat Negeri Sembilan namun kami berjanji akan beraksi habis-habisan dalam tiap perlawanan yang dilalui serta cuba mara sejauh mungkin pada saingan Piala Malaysia, jangan pandang rendah dengan kemampuan kami,” katanya.
Kone yang merupakan bekas penyerang Kuala Lumpur musim lalu menjadi antara watak penting di atas kejayaan membantu Negeri Sembilan muncul juara Liga Premier.
Jaringan golnya pada minit terakhir semasa menumpaskan Sarawak United FC, 1-0 membuka ruang buat Negeri Sembilan bergelar pendahulu sebelum menuju perlawanan terakhir yang menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin menang 4-2 berdepan PDRM FC.
Kone telah menjaringkan 12 gol sepanjang dua musim beraksi di Liga Premier dengan lima daripadanya bersama Negeri Sembilan musim ini manakala tujuh jaringan ketika di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Kone berkata, dia cukup teruja dengan kehadiran semula penyokong ke stadium sebaik aksi ketiga TM Piala Malaysia akan membuka tirai pada 29 Oktober.
Malah, Negeri Sembilan akan melalui tiga perlawanan di tempat sendiri dengan kehadiran penyokong bermula berdepan Kedah Darul Aman FC.
“Sudah tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong Negeri Sembilan kerana inilah yang saya mahukan sejak hari pertama hadir ke sini.
“Semangat menjuarai Liga Premier pasti akan membantu melonjakkan kehadiran penyokong ke stadium dan saya yakin semangat pemain-pemain pasti akan berbeza kerana diiringi sorakan penonton,” katanya.
Negeri Sembilan kini menduduki tangga ketiga Kumpulan C, berkongsi mata dengan Kedah yang berada di tempat kedua namun kelebihan gol memihak skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
Kumpulan C diungguli Melaka United buat sementara waktu ini dengan pungutan enam mata manakala Kelantan United, di tangga terakhir tanpa sebarang mata.