Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) tampil dengan janji baru akan melangsaikan hutang tunggakan gaji selama empat ke tujuh bulan anggota skuad Liga FAM Perlis musim 2018 selewat-lewatnya 7 Mac depan.
Ini sekaligus menyaksikan harapan besar pemain-pemain untuk menerima pembayaran tunggakan gaji mereka sebelum hujung bulan ini sepertimana dijanjikan, tinggal sekadar harapan.
Malah PFA juga sebelum ini pernah berjanji kepada pemain-pemain yang membuat tuntutan itu bahawa ianya akan diselesaikan sebelum 7 Januari, namun tidak ditunaikan.
Selepas isu itu dibangkitkan di media pada minggu lalu, difahamkan pemain-pemain telah dipanggil untuk perbincangan dengan PFA pada Jumaat dan mereka meletak harapan tinggi akan ada berita gembira diterima.Â
Sebaliknya Presiden PFA, Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata pihaknya telah mencapai kata sepakat  berhubung soal gaji itu dalam pertemuan yang telah diadakan.
“Kita mungkin akan menggunakan duit geran yang diberikan MFL untuk menyelesaikan tunggakan tersebut. Selewat-lewatnya 7 Mac, itu jaminan kita, jadi kita harap isu ini tidak perlu lagi dibesarkan.
“Saya juga mengalukan mana-mana pihak yang berminat untuk taja kita supaya tampil ke depan, kerana memang tidak dinafikan isu yang melanda PFA baru-baru memberi kesan besar.
“Kita bermula daripada bawah dan apabila sudah mendapat keyakinan daripada penaja, isu tersebut (tunggakan) meletus seterusnya memberi impak negatif kepada pasukan menyebabkan ada yang tarik diri.”
Sebagai rekod PFA sebelum ini pernah menyatakan bahawa mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk selesaikan tunggakan gaji tersebut untuk membalas kepercayaan diberikan MFL, dan penggunaan geran tahunan hanyalah solusi terakhir.
Apa sekalipun, pemain-pemain pastinya mengharapkan agar janji tersebut dimungkiri sekali lagi, dan sekiranya ia berlaku sudah tentunya akan memberikan tempias yang cukup teruk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL yang meluluskan penyertaan mereka.
Dalam pada itu, Amizal Shaifit meletakkan keyakinan bahawa segala isu semasa melanda PFA tidak akan sesekali melunturkan semangat skuad singa utara untuk melontarkan cabaran serius seterusnya melayakkan diri ke Liga Super 2020. – OLEH MUHAMMAD AIMAN